PUTRAJAYA 24 Mac - Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didenda RM4,000 setelah didapati bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut, hari ini memfailkan rayuan bagi mengetepikan hukuman tersebut.
Menurut peguam Zaleha Sikkander Hayat, notis rayuan tersebut difailkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta dekat sini pagi ini dan salinannya turut diserahkan ke Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada pukul 3.30 petang ini.
Pada 11 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Karpal atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, lima tahun lalu.
Karpal, 73, didakwa menyebut kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak pada satu sidang akhbar antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co, No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi di ibu negara.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Karpal yang juga peguam dan Majlis Peguam telah mengemukakan surat dakwaan salah laku ke Jabatan Peguam Negara berhubung cara Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin mengendalikan kes itu.
Melalui surat bertarikh 23 Mac lalu, Karpal dan Majlis Peguam memohon agar satu tindakan diambil ke atas Noorin yang dikatakan telah mengugut mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat ke atas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
Yang turut disertakan ialah nota ringkas yang dipersetujui sebulat suara oleh Badan Peguam dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
Menurut nota terbabit, Noorin juga didakwa gagal bertindak secara adil dan mendokong integriti jabatan perundangan itu apabila memohon hukuman penjara dikenakan ke atas Karpal walaupun menerima laporan perubatan tertuduh dan mengetahui tertuduh menggunakan kerusi roda dalam kegiatan seharian.
Salinan surat itu turut diserahkan kepada Noorin dan beliau mengesahkan telah menerima surat tersebut.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi menyatakan, hakim yang mengendalikan kes tersebut telah mengambil pertimbangan yang sewajarnya atas segala dakwaan yang dibuat.
Dakwaan salah laku itu, ujar beliau, berlaku sewaktu prosiding terbuka dan sudah ditangani pada waktu yang sama oleh hakim berkenaan.
"Hakim telah menangani perkara (dakwaan salah laku). Beberapa bahagian dalam hujahan kedua-dua pihak telah dipadamkan oleh mahkamah. Saya difahamkan, pihak pembelaan juga ada membuat beberapa komen yang kemudiannya diketepikan oleh hakim.
"Bagi saya, tiada salah laku atau kesalahan dilakukan oleh kedua-dua pihak. Dan bagi saya, tidak salah bagi seorang timbalan pendakwa raya untuk memohon hukuman berat," katanya ketika diminta mengulas mengenai surat dakwaan salah laku itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140325/ma_02/Karpal-fail-rayuan-ketepi-hukuman#ixzz2ww5xFCWk © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment