Oleh SHARIFAH AZMAWATI SYED ABDUL AZIZ
pengrang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Mac - Rakyat Malaysia hari ini menyelar agensi berita Amerika Syarikat, Fox News yang memburuk-burukkan umat Islam di negara ini dengan melabel sebagai pengganas berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Dalam laman akaun Facebook 'Saya Sayang Tun Dr. Mahathir Mohammad', ramai pengikut akaun tersebut, tanpa mengira fahaman dan ideologi membidas tindakan media asing tersebut yang melaporkan berita tidak seimbang itu.
Bagi Kazuki Neo Le Pilote berbangsa Cina mengecam keras laporan berkenaan dan meminta Fox News berhenti mencetuskan sentimen perkauman dan agama di negara ini dalam laporan beritanya.
"Kurang ajar awak (Fox News), saya orang Cina dan saya tinggal di Malaysia, kamu tolonglah berhenti memburuk-burukkan orang Melayu di negara ini atau mana-mana mereka yang beragama Islam di negara ini, kebanyakan mereka adalah orang yang baik," katanya sebagai respons terhadap media asing tersebut.
Selepas tiga jam memberi komentar itu, iaitu sehingga pukul 5.30 petang ini, ia mendapat 1,481 'like' daripada rakyat Malaysia di negara ini.
Kecaman tercetus selepas Fox News cuba mengaitkan Islam adalah pengganas dalam kehilangan MH370, ketika serata dunia dirundung kesedihan dengan tragedi yang tragis ini.
Fox News mendakwa bahawa juruterbang yang mengemudi pesawat MH370 ketika ia berlepas adalah pengganas Islam.
Malah, pertanyaan tersebut juga ditanya berkali-kali dan tidak cukup dengan itu, nama Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan timbalannya turut dipersenda.
Sementara itu, bagi Lucas Lim, beliau berpendapat adalah tidak adil untuk Fox News membuat satu rumusan awal terhadap kehilangan pesawat itu.
"Adalah sangat tidak adil untuk mengatakan dua juruterbang kami dengan tuduhan sebegitu, saya adalah rakyat negara ini tetapi bukan Muslim.
"Sangat biadab apabila kamu (Fox News) melaporkan sedemikian rupa dan itu adalah sangat-sangat tidak adil, adakah disebabkan kedua-dua mereka beragama Islam?" ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi rakyat di negara ini, Au Thien Poh turut senada dengan rakyat Malaysia lain yang turut mengecam tindakan Fox News itu.
"Adalah tidak adil mengatakan saudara Islam kami macam itu, kami sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan agama akan sentiasa berdiri teguh di belakang juruterbang kami sebagai tanda kami cintakan negara," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140327/dn_19/Rakyat-kecam-IFox-NewsI#ixzz2x80Fjxsh © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment