KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu paling suram dalam sejarah 15 tahun penganjurannya hujung minggu ini dengan tragedi yang menimpa pesawat malang, MH370 bakal membayangi saingan.
Pada ketika juara dunia, Red Bull mengancam untuk menarik diri dan peraturan baharu bahan api yang diperkenalkan oleh penganjur menerima reaksi bercampur baur daripada pasukan-pasukan Formula Satu, perlumbaan itu berdepan ujian besar yang jarang berlaku.
Tindakan pemilik Red Bull, Dietrich Mateschitz yang mengancam untuk memboikot perlumbaan ekoran tindakan penganjur membatalkan kejayaan pemandunya, Daniel Ricciardo daripada menduduki tangga kedua Grand Prix Australia, dua minggu lalu memburukkan lagi keadaan.
FIA, badan yang mengawal sukan Formula Satu mendapati, jentera yang digunakan oleh pemandu Australia itu melanggar peraturan penggunaan bahan api, salah satu peraturan baharu yang diperkenalkan musim ini.
Begitupun bagi kebanyakan pasukan, perlumbaan hujung minggu ini akan dimulakan dengan penuh kesedihan ekoran tragedi yang menimpa pesawat MH370, yang disahkan hilang di tengah-tengah Lautan Hindi.
Bagi mereka, kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang amat hampir dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), lokasi di mana MH370 berlepas, membuatkan perlumbaan itu amat dekat dengan tragedi tersebut.
Malah, Formula Satu secara tidak langsung juga menjadi sebahagian daripada peristiwa malang itu apabila pusat media dan beberapa anggota keluarga penumpang MH370 terpaksa dipindahkan dari hotel penginapan mereka untuk memberi laluan kepada tetamu perlumbaan.
Terdahulu, penganjur juga mengumumkan konsert Twin Tower yang dijadual berlangsung pada 28 dan 29 Mac, sempena perlumbaan tersebut turut dibatalkan bagi menghormati tragedi yang berlaku. Penyanyi terkenal, Christina Aguilera antara yang dijadual membuat persembahan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberitahu, jumlah kehadiran penonton dijangka tetap tinggi biarpun perlumbaan dibayangi tragedi, di mana 30 peratus tiket pada hari saingan sudah habis dijual.
Pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton antara yang melahirkan rasa simpati mereka terhadap kepada keluarga penumpang serta anak kapal MH370.
Semua doa dan rasa simpati saya mengiringi keluarga serta rakan-rakan penumpang dan anak kapal MH370," tulis bekas juara dunia, Hamilton dalam akaun Twitter miliknya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140327/su_02/Tragedi-MH370-bayangi-Grand-Prix-Malaysia#ixzz2x7YGn39W © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment