Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 28 March 2014

PRK BALINGIAN - Pengundi jangan terpedaya


Oleh ANGELINA SINYANG
utusansarawak@utusan.com.my






MUHYIDDIN Yassin melawat salah sebuah inap desa pada majlis Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada dan Bunut, di Mukah, Sarawak semalam. Turut sama, Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) dan Yussibnosh Balo (kiri). - BERNAMA

MUKAH 27 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat negara ini terutama bakal pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Sabtu ini, agar tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai parti tidak bertanggungjawab dan kejam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang ke Balingian untuk berkempen bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Jalil Bujang beberapa hari lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dalam ucapannya, Penasihat PKR itu dengan sombongnya berbangga memberitahu beliau sudah menang dalam PRK DUN Kajang.

"Anwar juga menuduh BN sebagai sebuah parti anak-beranak dan kejam seperti Firaun kerana tidak membela nasib rakyat sehingga ramai penduduk di Balingian miskin dan tertinggal dalam pembangunan.

"Tetapi saya nak tanya orang Sarawak, berapa ramai yang kebuluran tidak makan? Yang saya tahu ramai yang mati sebab makan banyak, masuk hospital kerana kencing manis," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pelancaran Rumah Inap Kampung Tanjung Pedada di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan calon BN bagi PRK DUN Balingian, Yussibnosh Balo.

Menurut Muhyiddin, walaupun Anwar berbangga dengan kemenangan PKR di Kajang, namun beliau terlupa bahawa partinya sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius membabitkan beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.

"Malah, kali ini undi diperoleh oleh isteri beliau juga merosot apabila menurun 1,445 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13. Ini bermakna beliau telah tersilap langkah," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Anwar yang menuduh BN kejam, Muhyiddin berkata, kenyataan beliau adalah tidak berasas kerana di bawah parti tersebut, rakyat menerima pelbagai subsidi bagi beberapa jenis barangan untuk meringankan beban kehidupan.

Menurutnya, kerajaan telah menampung kos subsidi barangan berjumlah RM42 bilion setahun iaitu hampir sama dengan RM40 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan.

Namun, katanya, kerajaan berasa tidak wajar jika bantuan subsidi bagi sesetengah barangan dilaksanakan sepanjang masa lalu mengurangkan sedikit nilai bantuan tersebut.

"Tetapi ada baiknya subsidi itu dikurangkan kerana wang dikumpul hasil pengurangan subsidi boleh diberikan semula kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

"Kerajaan sudah memberikan RM3 bilion kepada lebih 7 juta penerima BRIM di seluruh negara. Pemberian BRIM adalah lebih baik kerana ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasaran berbanding subsidi yang turut memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Melihat kepada keadaan itu, kata Muhyiddin, rakyat jangan terpengaruh dengan pembangkang dan masyarakat Balingian diminta memberi sokongan padu kepada BN dengan mengundi Yussibnosh pada hari mengundi nanti.

Mengenai kempen pilihan raya yang tinggal dua hari lagi, beliau berpuas hati dengan sambutan diterima penduduk Balingian terhadap BN dan berharap parti itu boleh mendapat undi majoriti yang lebih tinggi pada pilihan raya kali ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140328/po_01/Pengundi-jangan-terpedaya#ixzz2xDP5MAsw  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: