PUTRAJAYA 29 Mac - Kerajaan masih menaruh harapan untuk menemui penumpang atau anak kapal pesawat MH370 yang kali terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi selamat biarpun peratusannya sangat tipis.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, harapan masih ada berikutan operasi mencari dan menyelamat masih belum menemui sebarang objek serta maklumat sahih mengesahkan pesawat jenis Boeing 777-200 itu terhempas di lautan tersebut.
Tidak kira terpencil mana sekalipun kawasan pencarian ini kita tetap berharap untuk menemui penumpang yang masih hidup. Saya berharap dan berdoa operasi mencari dan menyelamat ini dapat menemui mereka yang hidup biarpun harapan itu agak tipis.
Saya juga memahami sensitiviti ahli keluarga terbabit dan sekiranya ada bukti yang menjurus ke arah penemuan bukti mengenai pesawat tersebut termasuk penumpang yang masih selamat ia tetap menjadi keutamaan kita dalam misi ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu dengan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari Malaysia dan China di Hotel The Everly, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan memahami perasaan ahli keluarga penumpang tersebut dan akan memenuhi permintaan mereka meneruskan operasi mencari biar apa jua keadaan.
Mengulas mengenai operasi yang masuk hari ke-22 itu, katanya, operasi akan tetap diteruskan di kawasan selatan Lautan Hindi berdasarkan penemuan enam imej yang dikesan oleh satelit.
Katanya, beberapa kapal telah dikerahkan ke kawasan tersebut dan pihaknya yakin akan menerima visual objek tersebut hari ini.
Saya yakin akan menerima visual objek berkenaan hari ini bagaimanapun kita masih perlu menunggu laporan sama ada pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai objek terbabit dan ke mana ia telah dibawa. Ini akan memberi kita petunjuk untuk meneruskan operasi ini.
Saya juga telah memaklumkan kepada keluarga terbabit mengenai maklumat ini, namun, saya tidak boleh memberikan harapan palsu kepada mereka, selebihnya kita hanya mampu berdoa kepada tuhan," katanya.
Ditanya adakah beliau kecewa dengan perjalanan operasi itu, Hishammuddin berkata: Saya tidak kecewa dengan operasi ini setakat ini, malah selepas pertemuan dengan ahli keluarga terbabit satu kekuatan baru muncul dalam diri. Mereka memahami usaha yang dilakukan Malaysia kerana bukan melibatkan kita saja malah seluruh dunia.
Mereka memahami situasi pencarian di kawasan koridor selatan yang diketuai oleh Australia dan penglibatan pelbagai aset canggih seperti pesawat P8-Poseidon, P3-Orion serta pesawat dari China yang tidak pernah dilihat berada di Perth untuk menyertai misi ini. Saya berasakan ini satu usaha terpuji yang dikoordinasi oleh negara sekecil Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga mahu orang ramai memahami dan menghormati perasaan ahli keluarga penumpang tersebut dengan tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_06/Malaysia-menaruh-harapan-ada-yang-masih-hidup#ixzz2xVcDBV2p © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment