HULU LANGAT 23 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan majoriti lebih rendah iaitu 5,379 undi berbanding 6,824 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Calon PKR yang juga Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memperoleh 16,741 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang meraih 11,362 undi manakala sebanyak 176 undi ditolak.
Keputusan tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman pada pukul 9 malam ini di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi di sini.
Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Kajang juga merosot kepada 72 peratus atau 28,314 pengundi berbanding 34,290 pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU-13.
Berdasarkan keputusan itu, hasrat PKR untuk mencatat kemenangan luar biasa termasuk menghilangkan deposit Mei Fun yang dianggap calon 'underdog' juga gagal.
Kemenangan PKR itu tidak mengubah kedudukan kerusi DUN Selangor dengan menguasai 14 kerusi dan BN kekal dengan 12 kerusi manakala dua lagi parti yang tidak bertanding iaitu Pas serta DAP memiliki 15 kerusi.
Yang hadir meraikan kemenangan itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan beberapa pemimpin pembangkang lain.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya daripada PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Januari lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Hasrat Anwar bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia disabitkan bersalah atas kesalahan meliwat oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu sekali gus menyebabkannya hilang kelayakkan.
Pada PRU-13, Chin Cheh menang dengan majoriti 6,824 selepas mendapat 19,571 undi mengatasi calon BN, Lee Ban Seng yang meraih 12,747 undi.
Turut bertanding pada PRU-13 ialah calon parti Berjasa, Mohamad Ismail yang menerima 1,014 undi manakala tiga calon Bebas, Ir. Mohd Iwan Jefry Abdul Majid, Ong Yan Foo dan Mohd. Khalid Kassim masing-masing mendapat 249, 85 dan 83 undi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140324/po_06/PKR-pertahan-DUN-Kajang#ixzz2wr22qcHf © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment