PERTH 29 Mac - Dua pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di sini hari ini bagi membantu operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi mulai lusa.
Kedua-dua pesawat itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce di Bullsbrook dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.
Operasi TUDM itu diketuai Pegawai Pemerintah Skuadron 20 TUDM Subang, Mejar Mohd. Jafri Suboh bersama 49 anggota dan pegawai.
Menurut jurucakap TUDM, dua pesawat C-130 itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pukul 10 malam tadi dan singgah di Jakarta, Indonesia pukul 1 pagi ini sebelum meneruskan penerbangan ke Perth pukul 5.30 pagi.
"'Kesemua anggota dan pegawai terlibat ditugaskan membantu RAAF mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi untuk tempoh dua minggu.
"Keperluan tempoh pasukan ini berada di Perth juga bergantung kepada arahan daripada TUDM," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam akaun Twitter miliknya mengesahkan ketibaan pesawat itu.
Ketua Skuadron RAAF, John McCourt memaklumkan bahawa sidang akhbar akan diadakan esok berhubung ketibaan dua pesawat C-130 dari Malaysia.
Bagaimanapun, RAAF tidak membenarkan mana-mana wakil media untuk merakam gambar kedua-dua pesawat tentera Malaysia itu.
Sementara itu, kapal TLDM KD Lekiu dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Stirling pada pagi Isnin ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat P3-Orion dari RAAF yang menyertai operasi di zon baharu pencarian tidak menemukan sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat MAS itu.
Juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Russell Adam berkata, pihaknya telah meletakkan tanda di beberapa lokasi di zon pencarian itu bagi memudahkan tugas pasukan mencari.
"Walaupun cuaca hari ini agak baik, tiada petunjuk terbaru yang boleh membantu. Objek yang ditemukan pesawat Tentera Udara Diraja New Zealand semalam adalah di lokasi yang berlainan," katanya dalam sidang akhbar petang ini sebaik sahaja tiba di Pangkalan RAAF di sini selepas menjalankan pencarian hampir 10 jam hari ini. - MINGGUAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140330/dn_07/Dua-pesawat-TUDM-sertai-misi-di-Lautan-Hindi#ixzz2xVdR4wbr © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment