COTABATO CITY 27 Mac - Penduduk di wilayah Mindanao menaruh harapan tinggi terhadap Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dimeterai hari ini sebagai permulaan baharu bagi kehidupan mereka di selatan negara ini.
Malah mereka berharap perjanjian yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia sebagai orang tengah itu turut menjadi petanda berakhirnya keganasan sejak empat dekad lalu yang menyaksikan peluang, kehidupan dan ekonomi wilayah berkenaan jauh ketinggalan.
Portal berita Filipina, inquirer.net yang memetik kenyataan seorang petani dari Sultan Kudarat di Maguindanao, Tato Sumagka, 47, berkata, dia bersama penduduk kampung lain bersorak kegembiraan apabila mendengar berita tentang pemeteraian perjanjian bersejarah itu.
Tato berkata, dia hidup dalam suasana keganasan di Mindanao sejak usia muda ekoran perbalahan antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan.
Saya telah menyaksikan peperangan, kehilangan jiwa dan peluang untuk menaikkan taraf hidup kami. Sejak kecil, saya hidup sebagai pelarian sebanyak beberapa kali dan hanya pulang ke rumah selepas keadaan kembali pulih," kata petani itu yang mengakui enggan menyertai MILF atas sebab yang tidak dinyatakan.
Sementara itu, penjual beras, Kautin Sumalindig, 53, turut berkongsi pendapat apabila menyuarakan keletihannya terhadap perang yang berlaku di Mindanao.
Jelasnya, penduduk tempatan terutamanya etnik Bangsamoro telah lama inginkan keamanan di wilayah ini. Tambahnya, dia terpaksa menjual ladangnya di Datu Piang dan menjalankan perniagaan di Cotabato City gara-gara peperangan.
Kami telah menyaksikan banyak perjanjian damai sebelum ini, tetapi tiada perubahan ekonomi dan pembangunan yang dapat kami kecapi. Walaupun saya gembira dengan perjanjian baharu kali ini, saya tetap bersedia dengan kemungkinan yang lebih teruk," katanya.
Kenyataan Kautin turut disokong oleh Odin Latip yang sejak kecil menjadi pelarian akibat perang di Mindanao. Katanya, penduduk Mindanao pernah berasa gembira menyambut perjanjian damai antara Filipina-MILF pada 1996, namun keganasan masih berterusan sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas perjanjian kali ini dimeterai," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140328/lu_03/Harapan-baharu-bagi-Bangsamoro#ixzz2xDSfPueg © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment