Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 28 March 2014

Konsert F1 diteruskan, persembahan khas buat MH370


Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my




Krew pasukan Ferrari sedang memasang kereta F1 yang akan dipandu oleh pelumbanya, Kimi Raikkonen di Sepang, Selangor semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

SEPANG - Konsert bersempena Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia 2014 yang menampilkan penyanyi dan deejay popular, Calvin Harris akan tetap diteruskan dan bakal menyajikan persembahan khas sebagai menghormati sensitiviti keluarga dan rakyat negara ini yang masih berada dalam kesedihan ekoran tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya telah berbincang dengan Harris dan artis dari Scotland itu telah pun bersetuju untuk mengadakan persembahan penghormatan (tribute) dalam konsert tersebut.

“Malah, sewaktu kami memaklumkan mengenai perkara ini Calvin (Harris) telah mencadangkan untuk mengadakan persembahan khas yang mungkin tidak pernah dilakukan oleh mana-mana deejay di seluruh dunia. Jadi, kita nantikan sahaja apakah yang mahu dia buat untuk rakyat Malaysia nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurut Razlan, pihaknya amat menyedari tentang sensitiviti rakyat Malaysia yang masih berada dalam ke­sedihan ekoran tragedi tersebut, namun SIC terpaksa juga meneruskan konsert tersebut kerana harga menyaksikan konsert tersebut adalah bersekali dengan pembelian tiket untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang.

Jelasnya, rakyat Malaysia mungkin boleh memahami jika SIC memba­talkan konsert berkenaan, tetapi bagi pembeli tiket yang datang dari luar negara, amat sukar untuk pihaknya menjelaskan kerana mereka bukan sahaja berkunjung ke Malaysia untuk menyaksikan perlumbaan, malah ramai dalam kala­ngan penonton asing tersebut terdiri daripada peminat Harris.

“SIC sebenarnya tidak boleh membatalkan konsert tanpa mengambil kira pandangan pembeli tiket, sebab itu kami telah memaklumkan kepada kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengapa program itu tidak boleh dibatalkan.

“Namun, bagi menjaga hati rakyat Malaysia, kami akan memastikan konsert yang akan berlangsung selepas perlumbaan tamat dilaksanakan de­ngan cara yang paling sesuai dan tidak keterlaluan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, SIC dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) juga bersepakat untuk mengadakan upacara khas iaitu dengan bertafakur selama seminit sebelum perlumbaan bermula, selain para pemandu F1 turut bersetuju untuk menampal pelekat pada topi keledar mereka sebagai penghormatan kepada ahli keluarga dan penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

“Saya agak terkejut dan terharu apabila dimaklumkan oleh FIA bahawa pasukan dan para pemandu telah bersepakat untuk berbuat demikian. Saya difahamkan pasukan Ferrari telah pun mula mencetak pelekat yang mengandungi mesej pray for #MH370 untuk ditampal pada topi keledar pemandu mereka. Malah, saya dimaklumkan pasukan lain juga akan berbuat perkara yang sama," katanya.

Mengulas mengenai penjualan tiket, Razlan mengakui, penjualan tiket F1 agak perlahan dan setakat pagi semalam, tiket yang terjual masih belum sampai kepada angka 60,000.

“Penjualan tiket kepada pelancong asing meningkat berbanding tahun lalu, tetapi kemerosotan berlaku dalam kalangan penonton tempatan. Saya tidak berasakan tragedi MH370 menjadi penyumbang utama tetapi peraturan baharu mengenai per­ubahan enjin F1 yang dikatakan tidak sebising dulu antara penyebab kepada masalah ini berlaku," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140328/su_01/Konsert-F1-diteruskan-persembahan-khas-buat-MH370#ixzz2xDWUVfLZ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: