Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 24 March 2014

MH370 - Pemeriksaan KLIA diperketat


Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my




PENUMPANG pesawat melalui pemeriksaan lebih ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD NOR

SEPANG 22 Mac - Pemeriksaan keselamatan di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat semakin diperketat selepas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di kaunter antarabangsa mendapati pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai imigresen bertugas dibuat secara teliti menyebabkan ramai penumpang terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran masing-masing.

Selain tumpuan penuh ketika memeriksa pasport, pegawai bertugas dilihat turut bertanyakan beberapa soalan dan berbual mesra dengan para penumpang terutama warga asing.

Sementara itu, beberapa rakyat Malaysia yang ditemui berharap pemeriksaan keselamatan ketat akan dikekalkan untuk memastikan tiada lagi pasport curi yang dapat membolosi negara ini.

Mohd. Shukri Ismail, 47, berkata, kawalan ketat sepatutnya dibuat sejak dulu lagi, namun perubahan itu tetap merupakan satu langkah yang baik daripada Jabatan Imigresen.

"Saya sudah beberapa kali ke luar negara, cuma kali ini saya tengok kawalannya lebih ketat dan pegawai bertugas juga mengambil masa yang lama setiap kali memeriksa pasport penumpang.

"Kawalan yang ketat memang patut sebab ini membabitkan keselamatan negara jadi saya bersetuju walaupun terpaksa beratur lama untuk tunggu giliran," katanya yang dalam perjalanan ke Jakarta, Indonesia untuk bercuti bersama keluarga.

Mariam Tukiman, 36, yang dalam perjalanan ke Bali, Indonesia berkata, dia tiba di KLIA pada pukul 12 tengah hari ini walaupun jadual penerbangannya pada pukul 3 petang kerana telah menjangka akan melalui masa yang lama di kaunter pemeriksaan Imigresen.

"Memang perkara wajib untuk melalui pemeriksaan imigresen, cuma kali ini saya tengok penumpang terpaksa beratur panjang kerana kawalan yang sangat ketat.

"Tidak mengapalah, sebab bila berlaku tragedi MH370 baru kita tahu betapa pentingnya keselamatan negara terus dijaga," jelasnya.

Kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu bukan sahaja menggemparkan industri penerbangan, sebaliknya turut memberi 'pukulan' kepada kredibiliti Jabatan Imigresen dalam menjaga pintu masuk negara ini.

Ini berikutan dua lelaki Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Syed Mohammad Reza, 29, berjaya melepasi kawalan Imigresen untuk menaiki penerbangan MH370 meskipun kedua-duanya menggunakan pasport curi.

Ketua Pengarah Imigresen, Aloyah Mamat bagaimanapun berkata, pegawainya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan pemeriksaan, justeru tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai Imigresen bertugas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140323/dn_06/Pemeriksaan-KLIA-diperketat#ixzz2wqjdfqqc  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

No comments: