Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 24 March 2014

MH370 - Bantuan petugas MAS dihargai






ANGGOTA keluarga penumpang pesawat MH370 warga China kelihatan dirundung kesedihan di sebuah hotel di Beijing, China, semalam. - AFP

BEIJING 23 Mac - Jarum jam terus berdetik, kini sudah lebih dua minggu sejak kata-kata terakhir, "Baiklah, selamat malam" didengar dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Kehilangan kapal terbang milik syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia itu, tidak dinafikan telah menarik perhatian dunia, baik dari segi operasi mencari dan menyelamat yang masih dijalankan, mahupun kesejahteraan waris penumpang.

"Saya kagum dengan tugas yang dilaksanakan MAS untuk membantu keluarga terbabit," kata petugas media China yang hanya ingin dikenali sebagai Sun.

Sun, yang membuat liputan kehilangan pesawat Boeing 777-200ER sejak lenyap dari radar pada 8 Mac, menegaskan bahawa bantuan dan khidmat yang disediakan MAS adalah sangat bagus.

"Daripada pemerhatian saya sendiri, segala bantuan termasuk penginapan, sokongan emosi oleh pemberi khidmat jagaan, bantuan kewangan dan permohonan dokumen perjalanan yang disediakan MAS sangat, sangat bagus," katanya di sini hari ini.

Sun berkata, sungguhpun sanak saudara mungkin tidak berhati-hati dalam tindakan mereka menerusi nada dan bahasa yang digunakan, pemberi khidmat jagaan dan petugas MAS tetap melayani mereka.

Sementara itu, Wen Wancheng, bapa Wen Yongsheng, 33, yang menaiki pesawat berkenaan, berpuas hati dengan kelolaan MAS.

Meskipun dia menegaskan bahawa MAS perlu memikul sepenuh tanggungjawab berhubung kehilangan pesawat itu, bapa berusia 63 tahun dari wilayah Shandong di timur China itu mengakui bahawa syarikat penerbangan berkenaan sangat teratur dalam mengelolakan segala urusan.

"Sesetengah daripada mereka (sanak saudara) mungkin meminta lebih lagi, tapi bagi saya, saya gembira dengan apa yang mereka sediakan untuk kami," katanya.

Terdahulu, pegawai pengurusan kanan MAS, Ignatious Ong mengumumkan tiga pilihan yang disediakan kepada ahli keluarga penumpang warga China di Beijing.

Pilihan itu adalah keluarga dialu-alukan untuk terus tinggal di Beijing jika suka, MAS akan menanggung kos pengangkutan pergi balik dari Beijing ke kampung halaman masing-masing dan pilihan masih terbuka bagi mereka yang berhasrat terbang ke Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini.

MAS turut memperuntukkan sejumlah AS$5,000 (RM16,542) sebagai bantuan kewangan kepada anggota keluarga setiap penumpang penerbangan MH370 untuk membeli keperluan harian mereka sementara menunggu berita di Hotel Lido di sini.

Hotel itu menyediakan makanan tiga kali setiap hari kepada kaum keluarga warga China itu.

Sepasukan pemberi khidmat jagaan, Go Team yang terdiri daripada 93 kakitangan MAS dan anggota Yayasan Tzu-Chi Buddha Taiwan turut ditugaskan di Beijing.

Selain menyediakan sokongan emosi dan menenangkan hati, pasukan itu membantu keluarga terbabit dalam kerja pentadbiran, misalnya untuk mengisi borang pendaftaran bagi permohonan visa, dan menjadi penterjemah.

Seorang pemberi khidmat jagaan itu berkata, sungguhpun anggota keluarga sedang melalui saat yang sukar, banyak antara mereka yang menyatakan penghargaan kepada sukarelawan di sini.

Sukarelawan yang enggan dikenali itu berkata, sebahagian daripada anggota kumpulan itu menerima teks mesej ucapan terima kasih daripada kaum keluarga berkenaan.

"Banyak daripada kami menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) terima kasih daripada kaum keluarga... mereka malah memeluk sebahagian kami bagi menunjukkan penghargaan setelah menerima sokongan emosi daripada kami," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140324/dn_10/Bantuan-petugas-MAS-dihargai#ixzz2wr0mjeEM  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: