PERTH 22 Mac - Australia meningkatkan operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 selepas operasi mencari selama dua minggu sebelum ini gagal, sehingga mencetuskan kemarahan anggota keluarga penumpang warga China di Beijing, semalam.
Enam pesawat termasuk empat pesawat Orion antikapal selam yang dilengkapi peralatan memantau menyertai operasi mencari hari ini bagi mencari dua objek yang dikesan satelit di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer ke barat daya Perth.
Kapal tentera laut China, Britain dan Australia kini berada di lokasi di mana dua objek itu dikesan satelit Australia pada Ahad lalu terapung di kawasan tersebut yang dipercayai serpihan pesawat MH370.
Pesawat-pesawat dari China dan Jepun juga dijangka turut menyertai pencarian itu.
Setakat ini tidak ada tanda-tanda pesawat MH370 ditemui, sehinggalah Australia pada Khamis lalu mendedahkan imej satelit yang diambil pada 16 Mac lalu mengesan dua objek di selatan Lautan Hindi.
Dua pertiga daripada 227 penumpang pesawat MH370 adalah warga China dan kemarahan keluarga penumpang pesawat itu berhubung cara Malaysia mengendalikan krisis itu kini tidak dapat dibendung lagi apabila berlaku kekecohan hari ini semasa keluarga penumpang mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Malaysia di sebuah hotel di Beijing.
Polis terpaksa dipanggil untuk meredakan keadaan apabila keluarga penumpang pesawat Mh370 meluru ke arah para pegawai Malaysia itu, dengan menuduh Malaysia cuba sembunyikan sesuatu.
"Kerajaan Malaysia, tolong beritahu kami cerita sebenar! Kembalikan saudara kami!" jerit mereka.
Selepas polis campur tangan, para pegawai Malaysia itu kemudian meninggalkan bilik mesyuarat itu.
"Kami sudah tidak tahan lagi.
"Mereka menawarkan kami pampasan, tetapi kami kehilangan saudara kami,'' kata seorang keluarga penumpang itu.
Pegawai Australia dan Malaysia menyifatkan imej satelit itu sebagai perkembangan yang mempunyai kredibiliti setakat ini, tetapi kegagalan menemui sesuatu yang konkrit menyebabkan operasi mencari itu bakal turut berdepan kegagalan, yang kini sudahpun lemah dan berdepan jalan buntu.
"Pada peringkat ini, kami merancang untuk tetap meneruskan pencarian," kata Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss ketika melawat pangkalan tentera udara di Perth.
Sementara itu, akhbar Britain, Daily Telegraph menyiarkan transkrip penuh komunikasi anak kapal MH370 di kokpit sehinggalah pesawat itu hilang dikesan radar.
Transkrip itu berakhir dengan ayat terakhir, All right, good night (Baik, selamat malam) dipercayai diucapkan oleh pembantu juruterbang pesawat itu, namun ia bukan merupakan petanda yang menjadi punca MH370 berpatah balik dari laluan sebenarnya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Pasukan penyiasat Malaysia membuat andaian kejadian itu ada kaitan 'tindakan sengaja' oleh seseorang di dalam pesawat itu.
Sarah Bajc, rakan kepada seorang penumpang warga Amerika, Philip Wood, melahirkan kebimbangan tumpuan yang diberi secara tiba-tiba di Lautan Hindi sehingga mengabaikan pencarian di darat sepanjang laluan utara oleh kemungkinan pesawat berkenaan yang mungkin berpatah ke utara dan Asia Tengah.
"Saya percaya, saya fikir dan saya rasa orang lain juga percaya, penumpang-penumpang itu telah ditahan atas sebab-sebab tertentu. Tetapi setakat ini semua orang tidak mahu percaya," kata Bajc kepada CNN.
"Jika terdapat kemungkinan ia (pesawat) 'dirampas' oleh seseorang atas sebab-sebab tertentu, maka kita sepatutnya meletakkan sumber-sumber kita untuk membuat pencarian di darat," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140323/dn_03/Australia-tingkat-operasi#ixzz2wqhy7pxy © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment