KUALA LUMPUR 19 Mac - Lokasi pencarian pesawat MH370 bertumpu di kawasan daratan di dua buah negara iaitu India dan Pakistan manakala perairan Lautan Hindi di tiga buah negara berdekatan iaitu Thailand, Indonesia dan Australia.
Menurut sumber keselamatan, pihak berkuasa percaya lima negara itu yang dilengkapi stesen radar termasuk milik tentera masing-masing, mungkin dapat menerima dan merekod isyarat gelombang elektronik daripada pesawat tersebut.
Katanya, ini berdasarkan kemungkinan pesawat tersebut melalui ruang udara di negara-negara itu sebaik sahaja membuat pusingan di kawasan Igari iaitu berdekatan ruang udara Vietnam.
Tambah sumber itu lagi, India dan Pakistan termasuk dalam koridor utara sementara Thailand, Indonesia dan Australia, koridor selatan.
"Bagaimanapun empat stesen radar iaitu di Thailand (Phuket); Indonesia (Acheh dan Selatan Sumatera) serta Australia paling berpotensi untuk mengesan data yang diberikan MH370 ketika melalui ruang udara negara tersebut iaitu di Lautan Hindi.
"Malaysia kini bergantung kepada negara-negara di koridor utara dan selatan yang mungkin dilalui oleh pesawat tersebut dan sekiranya satelit mereka menerima input yang menyamai MH370, sedikit sebanyak dapat membantu mengesan pesawat," kata sumber itu.
Sumber itu seterusnya percaya sekiranya MH370 berada di koridor utara, ia lebih mudah dikesan radar begitu juga dapat dilihat rakyat di negara berkenaan kerana merupakan pesawat bersaiz besar.
Mengulas mengenai tempoh yang diperlukan negara tersebut untuk memperolehi data berkenaan, sumber memberitahu, ia mengambil masa berikutan kejadian telah berlaku lebih daripada seminggu.
"Setakat ini kerajaan telah menghubungi kesemua negara itu menerusi hubungan diplomatik untuk memperolehi data satelit berkenaan namun, kita sedia maklum mereka memerlukan masa agak lama untuk meneliti setiap data diterima oleh satelit.
"Sebelum ini, negara-negara itu tidak meneliti radar dan satelit masing-masing disebabkan pencarian pesawat tidak tertumpu di negara mereka sebaliknya di Laut China Selatan," kata sumber.
Ditanya sama ada pesawat berkenaan dirampas, sumber memberitahu, siasatan setakat ini menjurus kepada perbuatan manusia iaitu mematikan dua transponder dan Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) di kokpit pesawat oleh individu yang mahir dalam pengendalian penerbangan.
"Jika berlaku masalah teknikal, pesawat itu berpeluang untuk melakukan pendaratan di beberapa lapangan terbang seperti Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Langkawi, Songkhla dan Pattaya, Thailand selepas membuat pusingan di Igari," kata sumber itu.
Sumber memberitahu, pada masa sama, pihak berkuasa Malaysia juga mendapat bantuan daripada tiga negara iaitu China, Amerika Syarikat dan Indonesia dalam siasatan yang berhubung kait dengan pengganas.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140320/dn_07/Lokasi-pencarian-tertumpu-di-dua-kawasan-daratan-lautan-berdekatan-tiga-negara#ixzz2wSb1sJo4 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment