HULU LANGAT 21 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyindir pakatan pembangkang yang gagal menilai fungsi Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di sesuatu kawasan.
Ini ekoran pakatan pembangkang menaikkan poster kempen PRK yang terpampang gambar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dengan slogan 'Dari Kajang ke Putrajaya'.
Dr. Mahathir berkata, ini jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak mengetahui bahawa PRK diadakan untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bukannya untuk menjadi Perdana Menteri.
"Semasa dalam perjalanan ke sini, saya ingat saya salah jalan apabila terlihat poster berkenaan. PRK ini untuk DUN bukannya Parlimen. Belum pernah ada ADUN yang menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jalinan Mesra Rakyat anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Menurut Dr. Mahathir, PRK DUN Kajang diadakan bagi memilih kerusi ADUN yang dikosongkan oleh wakil rakyat terdahulu.
"Susahlah kalau mahu menjadi wakil rakyat tetapi tidak tahu PRK ini untuk memilih ADUN Kajang dan bukannya bagi menunaikan permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
"Saya berharap rakyat di Kajang sedar hakikat PRK ini bukannya satu pertandingan keluarga, sebaliknya untuk perjuangan parti," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar PKR yang mengamalkan politik kekeluargaan yang diterajui oleh Anwar sejak sekian lama.
"PKR diibaratkan sebagai sebuah parti politik keluarga apabila melantik Dr. Wan Azizah sebagai Presiden sementara anaknya pula, Nurul Izzah bertanding calon di Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Nampak sangat ini membantu menunaikan hasrat Anwar yang berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.
"Sejak saya menarik Anwar menyertai UMNO, saya dapat melihat keinginan beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Baru sahaja masuk UMNO, sudah minta menjadi Ketua Pemuda, kemudian ingin bertanding sebagai Naib Presiden, selepas itu Timbalan Presiden pula.
"Orang ini masuk UMNO sebab mahu menjadi Perdana Menteri dan bukannya berkhidmat untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negara," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir meminta Dr. Wan Azizah untuk menghargai jasa Kerajaan Pusat yang memberi beliau gelaran doktor.
"Dr. Wan Azizah tidak mengenang jasa apa yang diberikan oleh kerajaan selama ini hingga beliau berasa selesa dengan kedudukan dikecapi sekarang," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140322/po_02/Tun-Mahathir-sindir-pakatan-pembangkang--gagal-nilai-fungsi-PRK#ixzz2wqJwEfRw © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment