SEPANG 20 Mac - Masuk hari ke-13 operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 seakan-akan memberi sinar serta harapan baharu apabila imej satelit dari Australia berjaya mengesan dua objek terapung di selatan perairan Lautan Hindi dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Biarpun maklumat mengenai penemuan objek tersebut belum dapat disahkan oleh mana-mana pihak, penemuan terbaru itu seolah-oleh memberi petanda yang misteri kehilangan pesawat tersebut sedikit demi sedikit bakal dirungkai.
Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, imej yang dirakam satelit tersebut merupakan satu petunjuk yang paling boleh dipercayai berbanding petunjuk-petunjuk lain yang diperoleh sebelum ini.
Katanya, sebaik sahaja maklumat berhubung penemuan objek tersebut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbot pada pukul 10 pagi tadi, beberapa aset penting telah dikerahkan ke kawasan sejauh 2,500 kilometer dari barat daya Perth itu.
"Segala usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti objek yang berjaya dirakam oleh satelit ini dan saya ingin tegaskan bahawa penemuan ini biarpun paling boleh dipercayai tetapi masih belum dapat disahkan.
"Setiap petunjuk yang kita dapat adalah penting dan setakat ini, itu merupakan petunjuk penting, Bagaimanapun, kita kena pastikan imej ini terlebih dahulu kerana jika tidak, ia akan mengganggu siasatan serta memberi harapan palsu kepada ahli keluarga penumpang pesawat itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.
Menurut Hishammuddin, sekiranya penemuan tersebut disahkan mempunyai hubung kait dengan pesawat MH370, perkara tersebut akan dimaklumkan secepat mungkin.
"Ini merupakan breaking news (berita terkini) yang mahu diketahui orang ramai dan dunia, percayalah apabila kita ketahui sahaja mengenai penemuan ini kita akan maklumkan kepada dunia," katanya.
Ditanya apakah tindakan segera yang akan diambil sekiranya maklumat tersebut benar, katanya misi utama adalah untuk mendapatkan kotak hitam bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku pada pesawat tersebut.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan bantuan dari Pasukan Siasatan dan Analisis dari Perancis untuk mengesan dan mendapatkan kotak hitam dari pesawat itu kerana keadaan laut di lautan tersebut sangat dalam hingga boleh mencecah tiga kilometer.
"Kita telah bercakap dengan pasukan dari Perancis yang mana tindakan selanjutnya adalah mencari kotak hitam kerana mereka mempunyai pengalaman ketika tragedi pesawat AirFrance yang terhempas di Lautan Atlantik dan mengambil masa dua tahun untuk mengesan kotak hitam itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140321/dn_01/Petunjuk-boleh-dipercayai#ixzz2wYKxO9dx © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment