Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 24 March 2014

MH370: Usah dilayan agenda jahat media asing


Oleh Zulkiflee Bakar





KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya tidak mela­yan laporan negatif media asing berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS)­ MH370 adalah tepat sekali.

Sememangnya sesiapa juga yang mengikuti laporan media asing khususnya dari Barat, kita akan mendapati bagaimana mereka membuat laporan-laporan yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan Malaysia.

Apa yang cuba digambarkan media tersebut kepada dunia ialah Malaysia terlalu perlahan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan cuba menyembunyikan fakta sebenar berhubung pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

Agenda media barat inilah yang memungkinkan sesetengah ahli keluarga penumpang MH370 khususnya dari China turut terpengaruh dan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada Malaysia dan Mas.

Walaupun memahami bahawa operasi mencari bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi juga 25 negara lain yang dilengkapi dengan pelbagai aset canggih, namun ia tidak dilaporkan secara adil oleh media barat.

Sasaran mereka hanyalah Malaysia dan MAS sehinggakan apa juga penjelasan yang diberikan oleh kedua-dua pihak itu seolah-olah ditolak mentah-mentah.

Atas sebab itulah dalam sidang akhbar harian yang dikendalikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein , media barat mengemukakan soalan-soalan provokasi yang bertujuan menunjukkan kelemahan Malaysia.

Bagaimanapun sehingga semalam, usaha itu masih gagal berikutan ketenangan dan kebijaksanaan Hishammuddin menjawab soalan wartawan biarpun beliau sendiri ‘diserang’ dengan soalan berbentuk peribadi termasuklah pertanyaan adakah beliau sepupu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan itulah yang dilihat semakin menimbulkan perasaan tidak puas hati media asing yang mahu memastikan Hishammuddin yang mewakili kerajaan Malaysia dalam mengendalikan isu kehilangan MH370 itu terperangkap dengan agenda jahat mereka.

Apa yang mereka mahukan ialah Hishammuddin bersetuju dengan teori dan spekulasi mereka termasuklah cuba mengaitkan kehilangan pesawat tersebut dengan fahaman politik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mengendali pesawat tersebut. Tetapi ternyata niat mereka tidak kesampaian apabila Hishammuddin secara tegas menyatakan mencari pesawat itu mengatasi soal politik.

Begitu juga apabila mereka cuba menafikan fakta bahawa MAS sudah melakukan segala-segalanya untuk memastikan kebajikan ahli keluarga krew dan penumpang terbela. Mereka bukannya tidak tahu bahawa MAS sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada ahli keluarga dan memberikan segala kemudahan yang diperlukan tetapi ini tidak diberi pujian kerana matlamat media asing ialah memburuk-burukkan Malaysia dan MAS.

Kalau benarlah media asing prihatin sangat berhubung soal itu kenapakah mereka tidak bertanya apa pula sumbangan China Southern Airlines memandangkan penerbangan MH370 berdasarkan kepada perkongsian kod antara dua syarikat penerbangan tersebut.

Kita akui warga China paling ramai dalam pesawat tersebut tetapi ini tidak bermakna MAS harus memberikan keistimewaan kepada mereka sahaja sehingga mengetepikan ahli keluarga penumpang yang lain. Dalam soal ahli keluarga warga China itu kerajaan dan MAS berusaha sedaya upaya menjaga kebajikan mereka. Ia termasuklah menghantar delegasi pegawai peringkat tinggi termasuk ke Beijing untuk bertemu dengan mereka.

Begitulah juga apabila media barat cuba menggambarkan Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak memberikan fakta sebenar berhubung kejadian kehilangan pesawat tersebut.

Dakwaan seumpama ini sama sekali tidak berasas kerana Malaysia bukannya bersendirian dalam operasi mencari tetapi ia melibatkan 25 negara lain. Adalah mustahil untuk Malaysia menyembunyikan apa-apa fakta dan kerajaan Malaysia tidaklah bodoh untuk berbuat demikian kerana ini bukannya isu kehilangan sebuah pesawat kawalan jauh tetapi sebuah pesawat besar yang mengandungi 239 penumpang dari pelbagai negara.

Mungkin media asing begitu teruja untuk memburuk-burukkan Malaysia disebabkan ada dalam kalangan rakyat negara ini berkongsi sentimen dengan mereka hanya kerana berbeza fahaman politik.

Sepatutnya dalam keadaan Malaysia menghadapi ujian yang cukup besar ini, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik bersatu tetapi malangnya ada dalam kalangan kita seolah-olah sudah terhakis semangat patriotismenya.

Apa pun, media asing boleh meneruskan agenda jahat mereka untuk memburuk-burukkan Malaysia dengan menjadi kehilangan pesawat MH370 sebagai agenda terbesar tetapi kita juga yakin usaha itu tidak akan ke mana.

Ia memandangkan majoriti masyarakat dunia amat memahami usaha keras yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan negara-negara sahabat termasuk Amerika Syarikat (AS).

Biarlah media barat dengan misi tersebut kerana misi utama kerajaan Malaysia bukannya melayan ‘kegilaan’ laporan negatif media asing tetapi mencari di manakah MH370.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140322/re_02/MH370-Usah-dilayan-agenda-jahat-media-asing#ixzz2wqNvXZps  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: