Oleh AIZAWATI AHMAD dan AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
SEPANG - Kejayaan yang dilakar Mercedes AMG Petronas adalah satu kemenangan yang cukup manis buat Petronas, syarikat Malaysia yang selama ini telah bekerja keras bagi meletakkan nama negara di puncak dunia melalui sukan Formula Satu (F1).
Kemenangan semalam bukan sekadar menjadi milik Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang muncul juara serta naib juara Grand Prix Malaysia Petronas 2014, tetapi apa yang lebih manis dan bermakna lagi adalah kejayaan tersebut turut menjulang nama Petronas di laman sendiri.
Maka, tidak hairanlah apabila Rosberg menyatakan bahawa rakyat negara ini harus berasa bangga kerana Petronas telah bertanggungjawab untuk membawa pasukan tersebut berada di kedudukan teratas.
"Malaysia boleh berasa bangga kerana syarikat anda, Petronas telah meletakkan kami di tempat teratas dalam sukan F1, jadi anda berhak untuk berkongsi perasaan ini," katanya ketika ditemu bual di atas podium sebaik upacara penyampaian hadiah selesai di sini semalam.
Malah, Rosberg turut memuji Petronas kerana berjaya menghasilkan bahan api yang amat berkualiti untuk sukan Formula Satu (F1).
"Petronas telah menyediakan bahan api yang terbaik buat kami dalam F1, ia satu penghasilan yang cukup hebat," ujarnya.
Ucapan Rosberg itu telah disambut dengan sorakan gemuruh daripada para penonton tempatan yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menyaksikan perlumbaan tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya tentang pemburuan gelaran musim ini, pemandu Jerman itu memberitahu, buat masa ini, dia enggan memikirkan mengenai perkara tersebut dan hanya mahu menumpukan kepada perlumbaan terlebih dahulu.
"Musim ini masih panjang, saya hanya mahu menikmati keseronokan memenangi perlumbaan. Dalam masa sama, kami juga perlu sedar tentang persaingan yang cuba diberi oleh pasukan lain terutamanya Red Bull.
"Memang saya akui jentera kami lebih laju, cukup jelas saya boleh menewaskan Sebastian (Vettel), tetapi cara mereka meningkatkan keupayaan kereta mereka amat mengagumkan, jadi kami juga perlu melipat gandakan usaha," tegasnya.
Rosberg kini berada di kedudukan pendahulu dalam senarai pemandu setelah mengumpul 43 mata dalam dua Grand Prix yang telah berlangsung setakat ini setelah muncul juara di Melbourne, Australia dan naib juara di sini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_02/Malaysia-harus-berbangga#ixzz2xV1qjsc1 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment