MANCHESTER - Robin van Persie mungkin telah menyelamatkan karier jurulatihnya, David Moyes apabila menjaringkan gol hatrik untuk membantu Manchester United melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-juara selepas membenam Olympiakos 3-0 di Old Trafford semalam.
Pada malam yang pasti akan dikenang oleh seluruh penyokong Red Devils itu, Van Persie menjaringkan dua gol di babak pertama dan menambah satu pada separuh masa kedua untuk memastikan United layak menerusi agregat 3-2 selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama, peringkat 16 pasukan terbaik di Greece tiga minggu lalu.
David de Gea juga wajar dipuji kerana beberapa kali menafikan percubaan Olympiakos, sekali gus melegakan Moyes yang masih dibayangi kekalahan 0-3 kepada musuh ketat, Liverpool dalam persaingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.
"Saya tidak mahu datang ke sini untuk bercakap mengenai kekalahan itu. Saya juga tidak mahu bercakap besar bahawa masa kami sudah tiba (kebangkitan United), tetapi saya benar-benar berharap kami bangkit," kata Moyes sejurus tamat perlawanan.
Sebelum memasuki padang, United berada di ambang penyingkiran ekoran ketinggalan dengan defisit dua gol. Moyes sedar, seandainya perkara itu berlaku ia mungkin akan merosakkan kariernya dan peminat pula akan hilang sabar.
Begitupun perlawanan berakhir dengan keputusan yang diinginkan oleh seluruh penyokong The Red Devils, malah kapten Olympiakos, Giannis Maniatis terduduk sejurus tamat permainan kerana tidak menyangka pasukannya telah mensia-siakan kelebihan 2-0 yang diperoleh sebelum berlepas ke Manchester.
Van Persie menyelamatkan Moyes menerusi gol pembukaan hasil sepakan penalti pada minit ke-25, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri pada waktu kecederaan separuh masa pertama untuk kedudukan 2-0.
Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, bintang penyerang Belanda itu menggamatkan Old Trafford dengan ledakan gol ketiga yang berpunca daripada sepakan bebas yang melencong cantik ke dalam gawang lawan.
Moyes turut menghambur pujian kepada pemain sayap veteran, Ryan Giggs, sekali gus meredakan khabar angin yang mengatakan kedua-dua watak penting United itu sedang bertelagah kerana tidak sebulu mengenai pendekatan latihan.
Pada usia yang sudah menjangkau 40 tahun, Giggs terbukti masih berbisa dengan menjadi perancang utama United di bahagian tengah, malah beraksi sepanjang 90 minit permainan.
"Dia pemain serba boleh yang sangat bagus. Pada usianya sekarang, saya boleh kata dia cukup hebat," kata pengendali dari Scotland itu.
Namun begitu, kemenangan cukup bermakna buat United dan Moyes itu terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila Van Persie diusung keluar pada minit terakhir permainan akibat kecederaan kaki.
Bagaimanapun Moyes menegaskan, kecederaan belakang lutut yang dialami penyerang berusia 29 tahun itu tidak seserius yang difikirkan.
Sementara itu bagi Olympiakos, ini adalah kekalahan mereka yang ke-12 berturut-turut di England, sekali gus menafikan peluang mereka untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 1999.
"Kami benar-benar tidak bernasib baik. Kami sangat terkejut dengan keputusan ini," kata pemain tengah Olympiakos, David Fuster. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140321/sl_01/Hatrik-Van-Persie-selamatkan-Moyes#ixzz2wYXp889H © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment