Oleh MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my
KOTA BHARU - Belum reda kekecewaan tumpas 1-0 kepada Selangor minggu lalu, Kelantan meratapi kekalahan kedua berturut-turut selepas ditumpaskan oleh Johor Darul Tazim (JDT) 2-1 di tempat sendiri, semalam.
Ini juga merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat juara Piala FA itu selepas turut kalah pada saingan Piala AFC, minggu lalu.
Lebih malang lagi, Kelantan yang menguasai keseluruhan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV dikejutkan dengan gol kemenangan oleh JDT pada minit terakhir perlawanan menerusi Fazli Mazlan.
Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong setia, The Red Warriors bermula garang apabila mengancam pintu gol JDT menerusi beberapa serangan bahaya namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan lawan.
Pada minit ke-13, Kelantan hampir membuka jaringan menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter oleh Mohamed Shawky Yazid, namun ia sedikir tersasar melepasi palang gol walaupun ketika itu penjaga gol, Izham Tarmizi sudah tertewas.
Kelantan yang tidak berputus asa selepas itu terus mengatur serangan dan berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-17 menerusi bintang import sensasi mereka, Mohamad Ghaddar yang bijak menolak masuk bola ke gawang selepas melakukan gerakan cantik satu, dua dengan Ahmad Fakri Saarani.
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT mula memperkemaskan corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32.
Penyerang kebangsaan, Amri Yahyah bijak mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan Kelantan, Mohd Nazri Ahmad yang gagal mengeluar bola dari lawasan bahaya.
Bersambung babak kedua, Kelantan terus melipat gandakan asakan dan hampir memperolehi gol masing- masing pada minit ke-58 dan 62.
Begitupun kedua-dua percubaan menerusi sepakan percuma oleh ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi itu terkena palang gol.
Kelantan yang terdesak memburu gol, kemudianya memasukkan seorang lagi penyerang import mereka, Francis Forkey Doe mengantikan Mohamed Shawky pada minit ke-85.
Kemasukkan Forkey Doe bagaimanapun tidak banyak membantu pasukan tuan rumah untuk menambah gol.
Ketika perlawanan berbaki dua minit menuju wisel penamat, JDT berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Fazli Mazlan yang bijak menyudahkan hantaran Luciano Figueroe.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140326/su_02/The-Red-Warriors-kecundang-lagi#ixzz2x25dfZb6 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment