KUALA LUMPUR 26 Mac - Pihak berkuasa telah menyerahkan data simulasi penerbangan milik juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah kepada beberapa negara untuk dianalisis.
Difahamkan, negara yang telah dikongsi data berkenaan adalah Amerika Syarikat, China dan Indonesia.
Sumber berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbuat demikian bagi memastikan siasatan yang dijalankan terhadap simulasi itu dilakukan secara menyeluruh dengan menggunakan kepakaran negara masing-masing.
"Maklumat yang diperoleh PDRM akan dikongsi dengan pihak berkuasa negara tersebut dan begitu juga sebaliknya.
"Setakat ini, siasatan lanjut terhadap simulasi berkenaan masih dilakukan polis serta negara terlibat," kata sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Difahamkan, selain pihak berkuasa negara lain, data tersebut turut diserahkan kepada pakar forensik lain bagi analisis termasuk dari Cyber Security Malaysia dan MAS sendiri.
Sebelum ini, PDRM mendedahkan mereka sedang menyiasat tiga jenis permainan dalam sistem simulasi penerbangan Zaharie bagi menyiasat misteri kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu.
Pada 16 Mac lalu, polis mengambil sistem simulasi penerbangan itu dari rumah Zaharie di Shah Alam untuk diperiksa oleh pakar dan kemudian alat tersebut dipasang semula di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mengulas tentang hasil siasatan terhadap simulasi itu, sumber menjelaskan, proses tersebut mengambil masa kerana mereka berdepan dengan masalah teknikal.
"Seperti yang diketahui beberapa data dalam simulasi itu telah dipadamkan dan usaha sedang dijalankan untuk mencari kembali data berkenaan. Ia tentu sekali bersifat teknikal, namun pastinya ada hasil tidak lama lagi," katanya.
Ditanya tentang siasatan punca MH370 melencong dari laluan penerbangan sebenar, sumber menjelaskan, pihaknya sedang memperhalusi kembali latar belakang kru serta penumpang pesawat terbabit.
"Polis tidak menghentikan siasatan terhadap setiap individu yang berada di dalam pesawat itu, kecuali dua bayi... Biarpun laporan sebelum ini mengatakan penumpang di dalam pesawat bersih.
"Malah siasatan itu bukan sahaja dilakukan PDRM sebaliknya agensi pihak berkuasa negara lain yang kemudian akan berkongsi segala informasi dengan kami," kata sumber itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140327/dn_07/Data-simulasi-Kapten-Zahari-diserah-kepada-3-negara#ixzz2x7m8UfBZ © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment