Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 27 March 2014

MH370 - Pemimpin dunia hargai usaha Malaysia






THE HAGUE 26 Mac - Usaha yang dilakukan Malaysia dalam mengendalikan isu kehilangan pesawat MH370 mendapat pujian pemimpin-pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat dan China.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang ditemui dalam pertemuan tidak rasmi di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) 2014 yang berakhir semalam, bukan sahaja mengakui keadaan yang dihadapi Malaysia sebagai rumit dan luar biasa, malah menyatakan komitmen berterusan membantu negara dalam urusan selepas ini.

Beliau menambah, Presiden China, Xi Jinping yang ditemui pula berharap, peristiwa malang itu tidak akan menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara.

"Dia (Jinping) faham keadaan sebenar dan sebab itu tidak ada kenyataan yang agak luar jangkaan kerana operasi yang dijalankan juga membabitkan pasukan negara China sendiri.

"Saya ucapkan terima kasih atas persefahaman itu dan ini sebenarnya bukti hubungan baik (kedua-dua negara) walaupun isu ini khusus melibatkan sebahagian warga China," katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia sempena NSS 2014 semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Presiden AS, Barrack Obama pula menyatakan bahawa negara itu akan terus membantu Malaysia jika diperlukan.

"Dia (Obama) memahami keadaan sulit dihadapi Malaysia serta meminta saya menyampaikan salam kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," ujarnya.

Antara pemimpin negara lain yang turut menyuarakan perkara sama ialah Australia, Jepun, Thailand, Singapura, India, Emeriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Vietnam.

Timbalan Perdana Menteri menambah, pertemuan tidak rasmi bersama pemimpin tersebut digunakan untuk menyatakan rasa terima kasih Malaysia atas bantuan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi mencari pesawat MH370.

Beliau menambah, pemimpin berkenaan pula menyatakan rasa sedih tentang pengumuman yang dibuat Perdana Menteri mengenai MH370 dan menyatakan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Katanya, bantuan yang dihulurkan negara-negara berkenaan adalah lambang hubungan baik Malaysia dengan negara-negara berkenaan yang disifatkan sebagai rakan.

Tambahnya, pertemuan itu juga digunakan untuk menyampaikan perkembangan terkini tentang kejadian malang berkenaan. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140327/dn_03/Pemimpin-dunia-hargai-usaha-Malaysia#ixzz2x7MDttrQ  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: