Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 24 March 2014

Tun Mahathir dan pengkritiknya


Oleh Zaid Ibrahim





Di negara lain, bekas pemimpin negara, sama ada Perdana Menteri atau Presiden, jarang sekali dikritik dan dihentam bertubi-tubi di dalam media tanpa henti seperti yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr.Mahathir telah dipilih oleh pihak pembangkang sebagai objek utama sasaran kritikan mereka. Sedikit sebanyak ia berlaku kerana Dr. Mahathir sendiri, walaupun sudah bersara, cergas memberi pandangan dan komen tentang hal-hal semasa yang menyebabkan beliau sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Ini menjadikan beliau ‘sasaran’ yang empuk untuk digunakan oleh orang politik dalam membicarakan hal-hal politik semasa.

Pengkritik Dr. Mahathir, sama ada dari kalangan mereka ternama seperti Lim Kit Siang sampailah kepada penulis blog yang hanya mempunyai 10 orang pembaca, selalu mengambil pendekatan atau cara yang sama. Mereka sama sekali melupakan dan tidak mempedulikan langsung sumbangan jasa dan kebaikan Dr. Mahathir sebagai pemimpin negara selama 22 tahun.

Yang kita dengar adalah leteran yang sama; bahawa Dr. Mahathir adalah seorang diktator yang merosakkan badan kehakiman, yang menggunakan ISA seperti ‘Operasi Lalang’ pada 1987, memecat dan memenjarakan Anwar Ibrahim, yang memulakan projek mega yang membazir seperti Proton dan Perwaja dan banyak lagi dosa beliau.

Pengkritik terkini dalam Free Malaysia Today, Francis Ng menulis seolah-olah Dr. Mahathir yang menyebabkan pertalian kaum dan agama di Malaysia kini runcing. Kelihatannya tidak ada apa baik Dr. Mahathir lakukan semasa menjadi Perdana Menteri. Semua rakyat benci kepadanya !

Sebagai seorang yang juga mengkritik Dr. Mahathir dalam hal-hal tertentu termasuk krisis badan kehakiman 25 tahun dahulu, saya ingin mengambil peluang hari ini merayu kepada rakyat Malaysia supaya mereka bersikap adil kepada Dr. Mahathir.

Beliau tidak sunyi daripada melakukan kesalahan semasa menjadi Perdana Menteri dulu tetapi jasanya kepada negara juga amat besar. Mengkritik rekod khidmat beliau biarlah ada batas dan berpandukan fakta.

Mengkritik tidak sepatutnya ada ‘matlamat lain’ seperti berniat untuk menanamkan rasa benci kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan menggunakan Dr. Mahathir sebagai umpan dan tumpuan.

Misalnya, jika kelemahan dasar BN menjadi isu, ia mestilah ditanggung oleh pemimpin BN sekarang. Mengapa Dr. Mahathir pula yang disalahkan? Kalau hubungan kaum dan agama di Malaysia tidak memuaskan, mengapa pula Perdana Menteri yang berhenti lebih 10 tahun lalu masih dipersalahkan?

Begitu juga pembaca Malaysiakini. Mereka suka menyalahkan Dr. Mahathir kerana katanya terlalu banyak kes rasuah di negara kita. Mengikut mereka rasuah menjadi epidemic. Jadi, mengapa pula Dr. Mahathir disalahkan sedangkan beliau telah bersara?

Rasuah pada masa ini mungkin kurang atau sama tahapnya dengan masa Dr. Mahathir dahulu tetapi persoalannya mengapa pula beliau mesti diheret dalam membahas isu yang beliau sudah tidak lagi bertanggungjawab.

Pembangunan negara Malaysia mustahil mencapai matlamat kejayaan seperti yang kita capai hari ini tanpa asas dan tapak kukuh yang dibina oleh Dr. Mahathir. Kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara semasa pemeritahan beliau adalah luar biasa.

Kejayaan kita hari ini adalah semata-mata kerana pemimpin lain seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan dasar ekonomi dan pembangunan pesat yang dimulakan oleh Dr. Mahathir dan pemimpin awal negara kita.

Mustahil pencapaian per kapita RM24,000 setahun dapat dinikmati jika kita bandingkan tahap kemiskinan pada 1957. Malaysia sekarang ini menduduki tempat ke-12 dalam dunia sebagai sebuah ekonomi yang paling pesat membangun (fastest growing economy) dan menduduki tempat ke-11 sebagai destinasi yang menjadi pilihan rakyat asing untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Semua ini tidak akan berlaku secara spontan tanpa pemerintahan yang baik. Kalaulah tidak ada satu pun baik yang dilakukan oleh Dr. Mahathir, mungkin sekarang ini Malaysia masih merupakan sebuah negara miskin. Mengapakah realiti seperti ini diketepikan?

Penyakit mengkritik pemimpin tanpa batas ini sudah keterlaluan, sepertilah kritikan yang dilemparkan oleh Anwar dalam wawancara dengan TV Australia semalam yang menuduh kerajaan Malaysia tidak tahu mentadbir dengan baik dengan menonjolkan seolah-olah banyak kelemahan dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Tuduhan melulu seperti ini mesti dijawab.

Kerajaan sepatutnya memulakan pendekatan positif untuk mengatasi fenomena ini. Caranya bukan dengan mengugut mereka atau berdiam diri atau mengambil tindakan undang-undang. Sebaliknya adalah dengan cara mengambil pendekatan baru.

Kita boleh menganalisis dan meneliti kejayaan dan kelemahan pemimpin sekarang dan yang lampau secara objektif. Rakyat memang mudah terpengaruh dengan propaganda politik, cerita sensasi apatah lagi dengan pertolongan media sosial hari ini mestilah didedahkan pada pencapaian menggunakan hujah fakta dan analisis yang kemas.

Negara kita mempunyai banyak cabaran dan transformasi ekonomi tidak boleh dilaksanakan tanpa transformasi politik. Cara wajar ialah dengan membiasakan rakyat dengan fakta dan hujah, membiasakan rakyat supaya bersedia menilai secara objektif . Membuat komen dan analisis dasar dan perubahan yang berlaku dalam negara kita secara ilmiah memerlukan latihan dan kebiasaan. Tanpa memahami apa yang telah dilaksanakan dan keuntungan dan manfaat yang dinikmati oleh masyarakat adalah sukar untuk kita menyangkal atau mematahkan pembohongan dan kempen propaganda yang dibentangkan oleh pihak lawan.

Ramai orang muda lulusan institusi pelajaran tinggi boleh menggunakan disiplin yang mereka pelajari untuk menjalankan kajian yang sederhana dan adil dalam membuat penilaian kewibawaan pemimpin kita, sekarang atau yang terdahulu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140323/re_06/Tun-Mahathir-dan-pengkritiknya#ixzz2wqoIxxLx  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: