PERTH 28 Mac - Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di perairan Lautan Hindi yang memasuki hari ke-22 esok bakal menggunakan tiga aset baharu bagi mengesan serpihan atau objek di perairan tersebut.
Ketiga-tiga aset itu adalah kapal perang HMAS Toowoomba (FFH 156) milik Tentera Laut Diraja Australia, pesawat pengangkut C17a Globemaster milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan sebuah helikopter jenis Sikorsky SH-60 Seahawk milik Tentera Laut Amerika Syarikat.
Penggunaan aset canggih itu berikutan penemuan 'petunjuk berwibawa' terbaru di perairan Lautan Hindi sebelum ini.
Jurucakap RAAF memberitahu, ketiga-tiga aset itu baru tiba di sini hari ini dan akan mula beroperasi awal pagi esok.
Katanya, pesawat C17a itu tiba di kem RAAF di Pearce, Bullsbrook dekat sini pukul 6 petang ini dari Pangkalan Udara Skuadron 36 di Brisbane bersama helikopter Seahawk.
Puluhan wartawan dari Malaysia dan luar negara yang 'berkampung' di pekarangan kem itu sejak beberapa hari lalu turut dibawa menyaksikan ketibaan pesawat berkenaan.
"Pesawat pengangkut C17a ini akan membawa helikopter Seahawk ke lokasi pencarian baharu sebelum pulang ke pangkalan.
"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berharap penggunaan ketiga-tiga aset ini mampu membantu usaha mencari," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Lokasi pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kini diubah susulan penemuan 'petunjuk berwibawa' terbaru oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).
Agensi itu dalam laman webnya hari ini memaklumkan, lokasi pencarian akan diubah ke zon baharu di 1,100 kilometer ke timur laut perairan Australia.
Kawasan pencarian baharu itu dianggarkan merangkumi kawasan seluas 319,000 kilometer persegi, kira-kira 1,850 kilometer dari Perth.
Sementara itu, AMSA dalam laman Twitter lewat petang ini memaklumkan Pesawat P3-Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand mengesan beberapa objek di kawasan lokasi pencarian.
Bagaimanapun, objek itu sukar dikenal pasti dan memerlukan pengesahan daripada kapal laut yang terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 esok. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_03/SAR-guna-3-aset-baharu-operasi-di-Lautan-Hindi#ixzz2xVMr1Ybx © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment