Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 31 March 2014

MH370 - Media barat cuba burukkan keadaan? Oleh Salleh Buang

Seorang pembeli surat khabar menunjukkan laporan berita mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 yang turut membabitkan lebih 150 rakyat negara itu di Beijing, China pada 10 Mac lalu. - AGENSI

SAYA tidak pasti jika ada mana-mana negara di luar sana yang bercita-cita mahukan hubungan antara negara ini dengan China menjadi buruk dan meruncing.

Tetapi laporan sesetengah media barat kecenderungannya memang ada. Jika kita lihat cara mereka melaporkan isu-isu tertentu melibatkan kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu hingga ke hari ini, ia seolah-olah mahu menyalakan api kemarahan dan kebencian rakyat negara berkenaan terhadap negara ini.
Protes jalanan yang tidak dihalang?

Dalam siarannya pada 25 Mac lalu, Cable News Network (CNN) menyatakan lebih 300 ahli keluarga dan saudara mara penumpang penerbangan MH370 telah mengadakan protes jalanan di Beijing untuk meluahkan rasa marah dan kecewa mereka terhadap pihak berkuasa Malaysia.

Mengikut portal ABC NEWS pula, wakil ahli keluarga yang menyertai protes jalanan itu ada mengeluarkan kenyataan berbunyi, antara lain, bahawa kerajaan Malaysia telah menyembunyikan dan sengaja lewat mendedahkan maklumat kepada ahli keluarga dan seluruh dunia. Kenyataan itu selanjutnya berbunyi - "Sekiranya 154 nyawa orang yang kita kasihi hilang, maka MAS, kerajaan Malaysia dan angkatan bersenjatalah yang sebenarnya pembunuh orang yang kita kasihi".

Akhbar berpengaruh Washington Post juga ada menyiarkan berita protes jalanan ini. Dalam laporannya bertarikh 25 Mac lalu, di bawah tajuk Flight 370 families in China boil in anger, march on Malaysian Embassy, portalnya menyatakan - Days of anxious waiting and simmering anger exploded into full-blown outrage Tuesday as relatives of Chinese passengers on the missing Malaysia Airlines Flight 370 marched to the Malaysian Embassy in Beijing to demand answers.

Bila kita baca sepenuhnya berita itu, mesej yang hendak disampaikan oleh akhbar itu adalah bahawa protes jalanan oleh ahli keluarga penumpang MH370 itu direstui oleh pihak berkuasa atau kerajaan China. Akhbar Washington Post menyebut protes ini sebagai sebagai satu protes yang direstui oleh pemerintah ("A state-sanctioned protest").

Walaupun lazimnya protes jalanan tidak dibenarkan kerana ia diharamkan di negara itu, akhbar itu menyatakan bahawa pada kali ini protes itu mendapat restu dan sokongan pihak-pihak tertentu, dan polis yang berada di situ juga tidak menghalang, malah membenarkan mereka maju mendekati kedutaan Malaysia dan mengeluarkan kenyataan mereka.

Isu pesanan ringkas

Dalam satu laporan berasingan, CNN merujuk kepada penghantaran khdimat pesanan ringkas (SMS) oleh MAS kepada ahli keluarga penumpang yang hilang, di mana pihak MAS menyatakan - Malaysia Airlines deeply regrets that we have to assume beyond any reasonable doubt that MH370 has been lost and that none of those on board survived. As you will hear in the next hour from Malaysia’s Prime Minster we must now accept all evidence suggests the plane went down in the southern Indian Ocean.

Laporan CNN itu juga memetik Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pihaknya telah mencuba sebaik mungkin menghubungi ahli keluarga secara peribadi atau menerusi telefon tetapi gagal. Sebagai langkah tambahan MAS menghantar pesanan ringkas itu kepada hampir 1,000 ahli keluarga, agar mereka mengetahuinya secara langsung dari MAS sebelum perkara yang sama diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media dan seluruh dunia.

Dalam pada itu, CNN memetik pakar undang-undang penerbangan dan perunding krisis, Robert Alpert Sr. yang menyatakan bahawa perbuatan memaklumkan pihak lain tentang satu perkara seburuk itu menerusi pesanan ringkas adalah satu tindakan yang "tidak sensitif, tidak sesuai dan amat tidak produktif dalam usaha membina semula imej dan kredibiliti kita".

CNN juga memetik pakar psikologi, Erik Fisher yang berkata bahawa MAS gagal memikirkan sepenuhnya impak pesanan ringkas itu kepada emosi penerimanya, sebaliknya hanya mementingkan berapa cepat berita itu dapat disampaikan kepada ahli keluarga penumpang.

Dalam siaran terbarunya pada 27 Mac lalu, di bawah tajuk berita China treads carefully amid the anger and grief of MH370 relatives CNN menyatakan bahawa dalam beberapa hari kebelakangan ini, ahli keluarga 154 penumpang warga China di pesawat MH370 itu berada dalam keadaan marah dan sedih menanti hasil usaha mencari dan menyelamatkan (SAR) yang dijalankan selama ini tapi masih belum berhasil.

CNN juga menyiarkan semula luahan rasa hati Zhang Ziyi, artis terkenal China, bila seniwati itu menyatakan dalam media sosial "Kerajaan Malaysia, anda salah kerana tidak menghormati nyawa. Anda salah kerana tidak menghormati usaha mencari kebenaran".

CNN turut menyiarkan semula kata-kata seorang seniman veteran, Chen Kun, yang mempunyai 72 orang pengikutnya dalam media sosial Weibo, yang mendesak agar satu tindakan tegas diambil terhadap Malaysia.

Kata seniman ini - "Disebabkan segala pembohongan oleh kerajaan Malaysia dan MAS, dan kelakuannya yang tidak menghormati rakyat kita, saya seru anda semua untuk memboikot apa jua barang komersial dan program pelancongan yang ada kaitan dengan Malaysia. Bukan hanya sekarang tetapi untuk selama-lamanya".

CNN merumuskan bahawa reaksi orang awam yang penuh emosi itu telah memberi tekanan besar kepada kerajaan China.

CNN juga memetik Victor Zhikai Gao, seorang personaliti yang berpengaruh di negara itu, yang berpendapat bahawa rakyat negara itu khuatir kerajaan Malaysia tidak mendedahkan segala-galanya dan tidak telus sejak dari mula. Kontradiksi dalam memberi maklumat, yang didedahkan sedikit demi sedikit, satu demi satu, menunjukkan niat sengaja menyembunyikan maklumat, setidak-tidaknya membayangkan sikap tidak telus serta keengganan mendedahkan maklumat sepenuhnya".

Sambil mengakui bahawa hubungan Beijing dengan Kuala Lumpur selama ini adalah akrab dan mesra walaupun ada tuntutan bertindih melibatkan sekumpulan pulau di Laut China Selatan, CNN menyatakan - "Masa akan memberitahu kita sama ada kerajaan Malaysia boleh melakukan sesuatu yang lebih baik dalam menangani insiden yang tragis ini. Buat masa ini, kita harap Malaysia akan bersedia mendedahkan semua data dan maklumat yang mereka miliki".

Tidak percaya

Sehari sebelumnya, pada 26 Mac 2014, CNN ada menemubual seorang wanita rakyat negara China bernama Cheng Li Peng di Kuala Lumpur. Suaminya adalah salah seorang penumpang MH370. Wanita itu memberitahu CNN - "Saya tak boleh percaya kerajaan Malaysia. Saya tak boleh buat apa-apa sekarang, kerana sentiasa memikirkan tentang suami dan anak-anak saya. Kepala saya berserabut.. ‘‘

Cheng mendakwa kerajaan Malaysia telah berbohong (They have been hiding the truth).

Katanya, kerajaan Malaysia tahu apa sebenarnya yang berlaku tapi mereka lambat bertindak dan hilang peluang keemasan untuk menjalankan pencarian yang boleh mendatangkan hasil.
Media beretika

Media yang bertanggungjawab adalah media yang menyampaikan berita secara beretika. Yang disampaikan adalah berita, iaitu fakta yang sudah disahkan sebagai betul dan tepat.

Sepatutnya, yang disiarkan bukan spekulasi dan ramalan yang belum tentu sahih atau berasas, jauh sekali kenyataan atau tohmahan yang mengapi-apikan rasa marah atau benci pihak tertentu terhadap pihak lain.

Jika sesuatu yang hendak disiarkan itu adalah komen atau pandangan, dan bukan fakta, media yang bertanggungjawab akan terlebih dahulu memastikan bahawa komen atau pandangan itulah adalah jujur, berasaskan fakta yang betul, dan dibuat secara suci hati, demi kebajikan dan kebaikan, bukan untuk memburukkan situasi yang ada - apatah lagi melaga-lagakan satu kaum dengan kaum lain, atau satu negara dengan negara lain.

Bila kita baca apa yang disiarkan oleh sesetengah media luar negara, kita perlu tanya diri kita dulu - Apakah kita sudah 100% yakin media berkenaan itu tidak punyai agenda tersembunyi terhadap negara kita, atau masyarakat kita? Fikirkanlah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140329/re_01/Media-barat-cuba-burukkan-keadaan#ixzz2xVXYCDy5  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: