Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
SEPANG - Pelumba Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg mengakui dia kini semakin selesa dengan jentera baharu pasukannya dan tidak menganggap laporan negatif daripada media berhubung peraturan baharu yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mampu menjejaskan keterujaan peminat untuk menyaksikan sukan Formula Satu (F1) yang dikatakan tidak lagi menarik seperti dulu.
Rosberg berkata, perubahan tersebut sebenarnya memberi banyak manfaat kepada sukan tersebut yang didominasi oleh pelumba sama pada tahun lalu, jadi apabila peraturan sedia ada ditukar, maka persaingan yang berlaku kini lebih terbuka.
Saya rasa perubahan ini bagus untuk F1. Kali ini susunan pemenang telah berubah yang mana bagi saya adalah bagus untuk semua orang kerana pada tahun lalu asyik pelumba yang sama memenangi perlumbaan.
Kita perlukan perubahan tersebut, jadi perkembangan ini memang bagus. Jentera juga kini berada dalam keadaan terbaik untuk dikendalikan, jadi tak mengapa jika perubahan ini memberi manfaat yang baik untuk semua," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas mengenai pencapaian pasukannya, pelumba Jerman itu memberitahu, Mercedes telah memulakan aksi permulaan musim dengan cemerlang apabila memenangi perlumbaan sulung di Grand Prix Australia di Melbourne dua minggu lalu.
Jelas Rosberg, pasukannya telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi menyesuaikan jentera dengan peraturan baharu yang telah ditetapkan dan dia berharap kecemerlangan di Melbourne akan dapat diteruskan di Sepang pula.
Namun, dalam masa sama kami perlu berhati-hati kerana perlumbaan di Melbourne tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur, tetapi saya rasa kami sekarang berada pada kedudukan yang baik, jadi sudah tentu kami mahu mengulangi pencapaian sama di sini," ujarnya.
Sementara itu, pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen pula berpendapat, sebagai pemandu, dia tidak berasakan perubahan tersebut memberi impak yang besar kepadanya kerana jika hendak dibandingkan dengan jentera pada tahun lalu dan tahun ini, tidak banyak perbezaan yang ketara.
Sebagai pemandu saya tidak lihat di mana perbezaannya jika dibandingkan dengan jentera tahun lalu. Sudah tentu, untuk saya perubahan yang berlaku adalah pasukan yang saya sertai. Setiap pasukan jenteranya berbeza-beza, itu sahaja," tegasnya.
Mengulas mengenai persaingan di Sepang, Raikkonen berkata, sukar untuknya mengulas mengenai peluang Ferrari kerana setiap litar perlumbaan tidak sama, lebih-lebih lagi dengan perubahan yang berlaku terhadap peraturan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140328/su_07/F1-tidak-terjejas-kerana-peraturan-baharu#ixzz2xDeHCd3S © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment