Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 27 March 2014

MH370 - Perjalanan yang tiada destinasi



Dr. Sivamurugan Pandian ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia (USM)



SEJAK 8 Mac lalu sehingga ke hari ini, Malaysia diselubungi perasaan sedih, hiba dan tertanya-tanya dengan peristiwa kehilangan misteri pesawat MH370. Dalam keghairahan dunia tampil dengan pelbagai teknologi canggih, penjelajahan mencari dan menyelamat melibatkan 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Jepun, China, India, Perancis, Australia, Korea dan gergasi besar dunia lain cukup sukar sekali.

Ada pihak dengan mudah menuding jari kepada Malaysia kerana dikatakan tidak sensitif terutama dalam menyediakan maklumat dan data yang secukupnya. Malahan, rakyat Malaysia sendiri memburuk-burukkan negara tanpa segan-silu; tanpa melihat sensitiviti keluarga penumpang dan anak kapal.

Ada yang menjadi terlalu seronok menunjukkan kejaguhan dalam isu ini walaupun ia sebenarnya direkacipta untuk mencari populariti. Di manakah nilai kemanusiaan, pertahanan menyeluruh dan patriotisme tatkala dunia goyah disebabkan oleh insiden ini?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri sebak dan turut menangisi kesukaran yang dilalui oleh kaum keluarga terlibat tetapi ada pula yang seronok memperlekehkan apa sahaja tindakan yang dibuat oleh pihak berwajib malahan ada tokok-tambah yang tidak masuk akal sama sekali.

Soalnya mengapa dalam negara berhadapan dengan krisis kehilangan pesawat Boeing 777-200, kita masih tidak mahu bersatu, memobilisasi sokongan dan keazaman me­rentasi apa sahaja perbezaan.

Ia sewajarnya dijadikan iktibar agar operasi mencari dan menyelamat tidak dipengaruhi oleh apa sahaja sentimen terutama dalam kalangan kelompok tertentu yang terlalu taksub dengan berita-berita sensasi diterbit dan disiar oleh pihak yang cuba berperang dengan psikologi rakyat Malaysia.

Berita mengelirukan oleh media tertentu dan kemaruk untuk menjadikan sesuatu berita viral yang tidak ada keabsahan daripada sumber rasmi menjadi-jadi.

Sejak awal kerajaan cuba mengurus krisis MH370 secara berhemah dengan melihat ia sebagai peristiwa yang memerlukan komitmen besar bukan sahaja dari pihak Malaysia tetapi juga negara luar. Malaysia sebagai pemilik pesawat dan titik permulaan penerbangan menjadi peneraju dalam pencarian pesawat ini. Ia dilakukan dengan penelitian sebaik mungkin kerana yang diutamakan oleh pihak berwajib adalah penumpang, anak kapal dan keluarga mereka.

Malaysia turut dikritik kerana saga MH370 penuh dengan spekulasi oleh pelbagai pihak termasuk yang mahu menjadi orang pertama merungkai misterinya walaupun maklumat yang disebar tidak benar atau hanya berasaskan kepada sedikit maklumat yang sumbernya diragui.

Pelbagai dakwaan dibuat termasuk oleh media asing.

Saya percaya jika radar satelit gelombang beberapa negara yang terlibat dalam operasi pencarian ini dikongsi sepenuhnya, barangkali kita mampu mengesan dengan lebih baik. Ada pihak yang menyalahkan Malaysia kerana dikhuatiri tidak memberikan kesemua informasi tanpa menyedari bahawa kebanyakan negara asing lebih mengutamakan keselamatan negara masing-masing daripada diceroboh melalui data yang boleh dikongsi bersama-sama Malaysia untuk mengesan dengan lebih mendalam.

Jika maklumat radar diberikan serta-merta, barangkali ia sudah dirungkai hari ini.

Ia ketara kerana Thailand baru muncul dengan pengesahan radar tenteranya bahawa pesawat MH370 melencong ke Selat Melaka pada 8 Mac lalu.

Rakyat Malaysia mengharapkan negara yang ada maklumat sekurang-kurangnya berkongsi secara tertutup dengan pihak berwajib Malaysia agar ia tidak melengahkan masa operasi mencari pesawat ini.

Begitu juga di Maldives apabila ada yang menyuarakan terlihat pesawat terbang rendah sedangkan ia tidak wujud.

Apakah Malaysia wajar dikritik jika negara lain memakan masa mengeluarkan maklumat yang ada? Jika Malaysia mengutamakan perasaan ahli keluarga penumpang dan anak kapal, ada media asing yang tidak tahu menghormati sensitiviti kerana lebih berminat untuk menampilkan teori konspirasi daripada mendekati jalan pencarian yang benar-benar praktikal kerana mereka sendiri sukar mempercayai pesawat ini sudah menjadi satu misteri di kala mereka megah dengan pelbagai peralatan canggih melangkaui zaman. Ada yang berlumba-lumba mahu ke hadapan tanpa menyedari ia memberikan impak negatif kepada keseluruhan insiden ini.

Angka korban, terhempas, dirampas sebagai tebusan dan bunuh diri ataupun dibunuh merupakan yang terakhir mahu dilihat oleh kerajaan yang komited atas keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 walau ada segelintir yang syok dengan agenda ini untuk melemahkan pendekatan yang diambil oleh kerajaan kini.

Penyatuan dalam kalangan masyarakat Malaysia penting sewaktu negara berhadapan dengan krisis. Ini bukan pertama kali kita melihat ada pihak yang cuba memanipulasi situasi untuk meraih sokongan daripada percaturan politik.

Ia dilakukan sewaktu peristiwa Lahad Datu dan diulang semula sekarang. Apakah segalanya perlu dipolitikkan? Apakah belum wujud kematangan berpolitik sesama kita ketika cakap-cakap kita sudah berada di kepompong politik baru? Adakah kedaulatan negara tidak mahu dijunjung bersama kerana perbezaan fahaman politik?
Apakah politik masih menjadi titik pemisah sesama kita?

Barangkali, ramai yang tidak tahu bahawa koordinasi yang membabitkan 26 buah negara bukan mudah terutama dengan kesediaan beberapa negara dunia pertama sendiri mahu terlibat. Ada data radar yang sensitif tidak boleh dijadikan tatapan umum dan ada juga yang tidak dikongsi sebarangan oleh negara yang terhalang dengan limitasi dasar keselamatan negara masing-masing.

Ia juga membabitkan soal risikan, intipan serta justifikasi penanda aras ke atas kekuatan dan kekurangan teras bucu-bucu yang boleh dibolosi ketika berhadapan dengan konflik dan persengketaan. Ia adalah benteng mempertahankan kedaulatan serta sekuriti sesebuah negara.

Kewibawaan pimpinan negara terserlah walaupun dihimpit dengan bermacam tohmahan. Apa yang diberikan keutamaan adalah bukti sahih yang boleh dijadikan laporan rasmi; bukannya spekulasi dan ramalan penganalisis aviasi yang tiba-tiba muncul. Kesemua ini memerlukan keterampilan ‘hubungan diplomatik’ dan terbukti dilakukan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin menggunakan kesemua saluran hubungan dua hala serta pelbagai hala demi MH370.

Usaha kerajaan, MAS, pasukan keselamatan dan yang lain perlu diiktiraf. Walau ada kelemahan, penambahbaikan dilakukan secara berterusan dalam masing-masing dahaga maklumat.

Malaysia terus diuji dengan kehilangan MH370, masalah kemarau yang berpanjangan; jerebu, cuaca panas terik dan isu air; kesemuanya cuba ditangani dengan mencari formula menang-menang untuk semua.

Yang penting, kita perlu muafakat, bersatu, cekal dan tidak digoda oleh tangan-tangan yang mahu melihat Malaysia cemas dan runtuh di mata dunia.

Bagi yang secara berterusan mengkritik usaha kerajaan termasuk pemimpin yang ghairah memberikan bahan kepada media luar serta membogelkan martabat tanah air melalui sindiran lukisan, temubual dan penulisan, bayangkan jika yang ada dalam pesawat ialah insan yang kita kenali dan sayangi.

Cuba fahami dan selami jiwa keluarga dan waris mereka yang berada dalam MH370 sebelum mahu memburuk-burukkan insiden ini kerana tidak ada keuntungan yang boleh diperolehi melainkan kebencian dan perasaan marah.

Bersatulah mempertahankan kedaulatan, martabat dan kelangsungan negara-bangsa yang bernama Malaysia ini. Megah sebagai warga yang bertanggungjawab lebih baik daripada megah sebagai Si Kitul yang menjadi musuh dalam selimut kepada negaranya sendiri kerana ‘penyatuan melangkaui politik’ adalah satu perjalanan yang tidak ada destinasinya.




No comments: