Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 17 Mac - Usaha berterusan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) membuat pelbagai tuntutan berhubung hak asasi manusia menzahirkan sifat hipokrit pertubuhan tidak berdaftar itu yang sengaja menyembunyikan hakikat kedudukan Islam di negara ini.
Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, kedudukan itu dijamin di bawah Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan namun tidak sesekali mengizinkan agama-agama lain ditindas.
Menurutnya, terdapat pelbagai bukti mengenai keharmonian beragama yang dijamin untuk penganut agama bukan Islam di negara ini berbanding negara-negara Islam lain.
"Kerajaan membenarkan pembinaan rumah ibadat bukan Islam mengikut peraturan sedia ada, perayaan-perayaan keagamaan, malah di peringkat nasional dan peruntukan kewangan diberikan kepada kumpulan keagamaan untuk menjalankan kegiatan mereka menurut Perlembagaan Persekutuan.
"Ternyata dakwaan-dakwaan yang ditujukan terhadap kerajaan sebenarnya merupakan situasi-situasi hak asasi manusia yang sengaja dimanipulasi dan digembar-gemburkan pihak Comango atas sebab iri hati terhadap kejayaan Malaysia mengurus hubungan antara agama secara baik semenjak berpuluh tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azril memberitahu, oleh kerana ketaksuban mereka terhadap fahaman hak asasi manusia yang berlatarbelakangkan nilai liberal-sekular, Comango memainkan api permusuhan antara agama.
Malah jelasnya, kebanyakan daripada kalangan aktivis Comango bukannya penganut agama yang komited.
"Mereka sekadar menggunakan nama pertubuhan-pertubuhan agama bukan Islam di negara ini untuk menjustifikasi perjuangan mereka di pentas-pentas antarabangsa bagi menzahirkan kehebatan mereka menjuarai isu hak asasi manusia.
"Hanya apabila mereka berjaya mewujudkan situasi-situasi palsu 'pelanggaran hak asasi manusia' tersebut, khususnya di Malaysia, maka mereka mempunyai alasan kukuh untuk mendapat dana daripada penaja-penaja asing yang sememangnya beragenda jahat dan hasad terhadap kedaulatan dan kesejahteraan negara," tegasnya.
Katanya, menyedari cabaran seumpama ini, MuslimUPRo sentiasa memberi tumpuan terhadap sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) untuk menjelaskan keadaan sebenar rekod dan pencapaian hak asasi manusia.
"Kami juga sedar dan berwaspada tentang tindakan manipulasi yang telah dibuat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia liberal-sekular, khususnya yang bergabung atas nama Comango.
"Comango telah mengemukakan tuntutan-tuntutan kontroversi dan tidak berasas yang mencabar kesucian Islam di Malaysia dan kedaulatan undang-undang serta menghakis prinsip kesopanan dan kesusilaan di dalam Rukun Negara," jelasnya.
Beliau berkata, secara khusus, terdapat enam tuntutan kontroversi yang bersifat biadab dan ditolak kesemua NGO Islam melalui kesepakatan gabungan delegasi ke Geneva, MuslimUPRo.
Oleh itu, pihaknya mengajak NGO-NGO Islam menyertai penegasan MuslimUPRo dalam menolak tuntutan-tuntutan kontroversi Comango.
"Hakikatnya, fahaman liberal-sekular yang dianuti Comango sangat bahaya kepada kedaulatan negara dan umat Islam khususnya dalam jangka masa panjang oleh kerana melibatkan perkara-perkata asas akidah, syariah dan akhlak umat Islam," tambahnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140318/dn_20/Usaha-Comango-zahir-sifat-hipokrit#ixzz2wSxmMEAk © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment