KETIKA dibangku sekolah dulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah idolanya. Sebabnya, dia kagum dengan kehebatan Anwar berpidato dan berhujah ketika kedudukan beliau masih Timbalan Perdana Menteri. Dan apabila Anwar dipecat, dia percaya bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah dianiaya. Maka dia turut serta membenci kerajaan dan bersama-sama melaungkan `reformasi di jalanan.
Bagaimanapun setelah berpeluang bekerja sendiri dengan Anwar, sedikit demi sedikit dia mulai meragui perjuangan dan keperibadian Anwar - "Perjuangan yang saya sangka berada di jalan yang lurus selama ini meleset sama sekali, katanya.
Ikuti wawancara Utusan Malaysia dengan bekas Setiausaha Sulit Anwar, MUHAMMAD RAHIMI OSMAN baru-baru ini yang menjelaskan kenapa dia turut mengikuti jejak langkah bekas rakan-rakan Anwar yang lain, meninggalkan Anwar.
APA yang menyebabkan saudara mengkagumi Anwar dan kenapa kemudiannya meninggalkan beliau?
Saya mengkagumi Anwar sejak dari sekolah lagi. Saya datang dari keluarga yang bergiat aktif dalam politik. Ketika anwar berada dalam UMNO saya terikut-ikut dengan sokongan keluarga kepada Anwar sebagai pemimpin masa depan.
Tahun 1998, Anwar dipecat dan bapa saya pada ketika itu terus aktif dalam gerakan reformasi, saya selalu dibawa olehnya ke program-program reformasi. Hampir setiap minggu ada sahaja ceramah atau demonstrasi jalanan dan kami tidak akan terlepas daripada mengikutinya.
Melihat kehebatan Anwar berpidato meniupkan api kebencian saya terhadap kerajaan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada ketika itu sudah cukup untuk meyakinkan saya bahawa Anwar adalah penyelamat negara yang kini telah teraniaya, maka wajiblah bagi saya untuk untuk terus berjuang bersama-sama beliau.
Saya tidak sangka, dapat bekerja untuk idola yang saya kagumi. Selama beberapa tahun, saya terus istiqamah dan bertungkus-lumus bekerja membantu Anwar dan parti bukan kerana wang ringgit atau jawatan tetapi kepercayaan yang mendalam terhadap perjuangan yang dibawa oleh Anwar.
Malangnya, perjuangan yang saya sangka berada di jalan yang lurus selama ini meleset sama sekali.
Saya adalah orang yang memperkenalkan Saiful Bukhari Azlan kepada Anwar dan saya juga adalah antara orang yang terawal Saiful datang mengadu bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Sudah tentu, untuk mempercayai Saiful 100% adalah perkara yang tidak wajar. Maka saya melakukan kajian terperinci mengenai hubungan Anwar dan Saiful.
Memang ada sedikit syak wasangka terhadap keakraban mereka berdua kerana ia melebihi dari cara normal layanan Anwar terhadap staff lain. Saya mula menyemak diari dan padankan tarikh-tarikh yang Anwar hilang dari jadual dengan waktu-waktu Saiful mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar.
Termasuk juga tarikh-tarikh Anwar ke luar negara dan pada tarikh dan jangka masa yang sama Saiful juga hilang dari pejabat. Saya berjumpa dengan Saiful berkali-kali untuk bertanya 1,001 macam soalan. Jawapan Saiful setiap kali saya bertanya adalah konsisten dan tidak bercanggah.
Apabila Saiful membuat laporan polis dan kes ini terbongkar, saya sendiri telah dipaksa oleh peguam-peguam Anwar untuk membuat satu akuan bersumpah palsu untuk menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor telah berkonspirasi dalam kes ini.
Pada ketika inilah saya yakin bahawa Anwar sebenarnya bukanlah seorang pejuang yang saya idolakan selama ini.
Pada penilaian saudara apakah Anwar seorang pemimpin yang berintegriti dan mempunyai pekerti teladan yang boleh diikuti?
Tidak, langsung tidak. Anwar sudah banyak kali berbohong. Bermula dari kes liwat, 16 September, Altantuya, pengundi Bangladesh terlibat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan banyak lagi.
Anwar sering menyebut dia mempunyai bukti kukuh itu dan ini apabila membuat sebarang dakwaan. Saya masih ingat ketika saya mula bekerja dengan Anwar, beliau menjaja cerita Najib terlibat dalam skandal pembelian Scorpene dan pesawat Sukhoi. Ini dikuatkan lagi apabila dia menyebut dia mempunyai bukti lengkap dan kukuh segala dokumen rasuah dan skandal ini!
Saya pelik, sehingga hari saya meninggalkan pejabat Anwar, saya sendiri tidak pernah melihat dokumen-dokumen yang disebutkan.
Malah saya juga bertanya kepada individu-individu penting dalam parti pada ketika itu, mereka juga kebingungan.
Anwar cuba melakukan lonjakan politik di Kajang. Pada hemat saudara apa muslihat Anwar melakukan itu semua?
Lonjakan politik di Kajang merupakan percaturan licik oleh Anwar. Selain menenangkan sengketa yang berlaku dalam kem-kem politik PKR di Selangor, Anwar juga ingin meletakkan kembali diri beliau sebagai tumpuan utama media tempatan dan antarabangsa.
Secara tidak langsung, ini akan terus memberikan tekanan kepada mahkamah dalam kes rayuan liwat beliau. Alhamdulillah, mahkamah di Malaysia bukanlah satu badan yang boleh dibuli oleh Anwar. Keputusan tidak memihak kepadanya dan sekali lagi percaturan politik Anwar gagal.
Kini Anwar meletakkan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon dan pada masa sama sebenarnya beliau telah menipu penduduk kajang dan penyokong PKR.
Selama ini, alasan yang diberikan PKR mengenai langkah meletakkan Anwar dalam arena politik Selangor adalah bagi mengukuhkan benteng pertahanan mereka dari serangan pihak lawan. Jika benar ini adalah agendanya, maka Wan Azizah langsung tidak sesuai sebagai sebagai calon di kajang.
Ini kerana Wan Azizah bukanlah seorang ikon politik yang kuat dan mampu untuk kononnya menahan asakan UMNO di Selangor.
Lebih ramai pemimpin PKR yang mempunyai ciri-ciri tersebut, sebagai contoh, Datuk Saifuddin Nasution. Tetapi ini tidak berlaku, maka yang sebenarnya pencalonan Wan Azizah di Kajang cumalah untuk meraih simpati politik semata-mata.
Ya, sekali lagi Anwar menjadikan penduduk kajang sebagai korban politiknya.
Wan Azizah adalah proksi Anwar yang cukup hebat. Apakah pada hemat saudara Wan Azizah tidak tahu siapa sebenarnya Anwar?
Mustahil Wan Azizah langsung tidak tahu siapa sebenarnya Anwar.
Sedangkan ramai yang mengenali siapa sebenarnya Anwar, jadi masakan pula seorang isteri yang tidur sebantal dengannya tidak mengenali siapa suaminya.
Ramai yang mengatakan Wan Azizah cuma atau terpaksa membela suami tetapi saya langsung tidak setuju dengan pendapat tersebut. Wan Azizah adalah seorang manusia yang hipokrit dan juga mahukan populariti. Dalam perebutan kuasa seperti ini, Wan Azizah lebih berminat untuk memastikan beliau tidak tertinggal.
Wan Azizah tidak mahu duduk sebagai isteri anwar sahaja. Dia mahu kedudukan dan jawatannya terpelihara sama ada dalam parti ataupun kerajaan yang diimpikan mereka.
Jika ditanya pada sahabat-sahabat lama Anwar, sewaktu Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah adalah antara individu yang langsung tidak dipedulikan oleh Anwar.
Wan Azizah nampak ketinggalan dari segala sudut dan tidak mendapat penghormatan sepertimana isteri seorang Timbalan Perdana Menteri. Maka, Wan Azizah tidak ingin perkara seperti ini berulang kembali dan kelemahan-kelemahan Anwar itu dijadikan satu bargaining power untuk beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140322/re_01/Mustahil-dia-tidak-tahu-siapa-Anwar#ixzz2wqLSVyRt © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment