KUALA LUMPUR - Keputusan seri yang diraih Terengganu dan Selangor ke atas lawan masing-masing membuka laluan buat Tok Gajah merampas teraju Liga Super selepas menang 2-0 ke atas Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Juara Piala Malaysia itu kini mengumpul 19 mata, meninggalkan Terengganu di kedudukan kedua dengan 17 mata pasukan itu selepas seri 1-1 ke atas Kelantan, manakala Selangor yang seri 2-2 dengan PKNS di tangga ketiga, juga dengan 17 mata.
Pada perlawanan Kuantan, tuan rumah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dimiliki, malah membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Dickson Nwakaeme, sebelum menambah derita Perak melalui gol kedua yang dijaringkan oleh R . Gopinathan minit ke-36.
Di Stadium Shah Alam, Selangor sukar untuk mengutip tiga mata di laman sendiri biarpun pada awal permainan berjaya mendahului menerusi gol sendiri pemain PKNS, Helmi Remeli pada minit ke-18. Tiga minit selepas itu skuad bimbingan Wan Jamak berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor.
Babak kedua menyaksikan PKNS terpaksa terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-69, namun pelawat masih berupaya untuk menambah gol pada minit ke-73 menerusi Mohd. Aminuddin. Seminit selepas itu tuan rumah berjaya mengelak daripada dimalukan dengan meraih gol penyamaan melalui Afiq Azmi.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Darul Tazim (JDT) gagal mengutip tiga mata penuh setelah diikat Sarawak 1-1.
Gol pembukaan dijaringkan oleh pasukan pelawat pada minit ke-16 hasil rembatan lencong S. Chanthuru dari luar kotak penalti, manakala tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 melalui jaringan penyerang Argentina, Luciano Figueroa.
Di Stadium Jalan Besar, LionsXII sekadar seri 1-1 dengan T-Team biarpun mengawal perlawanan.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby selaku tuan rumah menewaskan ATM 3-2.
Gol Sime Darby hadir menerusi Mohd. Arif Ismail minit ke-29, William Mensah minit ke-59 dan Mahmoud Al Amna minit ke-64, manakala gol ATM dijaringkan Bruno Sebastian Martelotto dan Juan Manuel Arostegui.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140330/su_05/Giliran-Tok-Gajah-rampas-takhta#ixzz2xV4UdmXW © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment