Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 26 March 2014

MH370 - SAR masuki fasa baharu


Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED 
pengarang@utusan.com.my




Hishammuddin Tun Hussein bercakap pada sidang media mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - bernama

KUALA LUMPUR 25 Mac - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi kini memasuki fasa baharu dengan fokus pencarian serpihan dan kotak hitam pesawat berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menegaskan fasa tersebut melibatkan operasi lautan dalam dengan penggunaan peralatan serta kelengkapan teknologi canggih yang hanya dimiliki negara-negara tertentu.

Menurut beliau, antara kelengkapan canggih itu adalah penggunaan Towed Pinger Locator dan kerajaan sedang mendapatkan kerjasama negara- negara terlibat dengan kadar segera.

''Walaupun lokasi (pencarian) mencabar dan jauh dari daratan, saya optimis, selagi ada harapan, saya akan terus berharap. Saya beri jaminan, operasi SAR (fasa baharu) akan diteruskan," katanya ketika menggulung perbahasan usul khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tragedi MH370 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau seterusnya berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 kini tertumpu di kawasan perairan seluas 459,400 batu nautika persegi di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Katanya, serentak dengan itu, SAR di koridor utara telah dihentikan sepenuhnya dan begitu juga di bahagian utara koridor selatan berhampiran Indonesia.

Hishammuddin memberitahu, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan The United States Pacific Command (USPacom) bagi membantu fasa baharu itu.

Selain itu, jelasnya, tanggungjawab mengendalikan hal ehwal keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 juga diserahkan kepada pihak MAS.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai persoalan melibatkan tragedi pesawat MH370.

Beliau menyatakan komitmen berkenaan sebagai memberi maklum balas terhadap cadangan beberapa ahli Parlimen berhubung perkara tersebut.

Malah jelasnya, Jawatankuasa Audit yang diwujudkan di peringkat kementerian dan sebuah jawatankuasa di peringkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diwujudkan bagi tujuan sama.

''Saya akan memanjangkan usul (cadangan) ini kepada pihak bertanggungjawab, sama ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau RCI," ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika membahaskan usul khas itu berkata, tragedi MH370 membawa pelbagai iktibar kepada negara untuk melihat kembali kekurangan- kekurangan terutama kelengkapan teknologi dan kebolehan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

''Pentingnya lihat perkara ini secara matang dan tidak mempersenda keadaan. Saya teringat soalan seorang pemberita luar ketika sidang akhbar MH370 mengenai imej satelit yang memerlukan beberapa hari untuk dianalisis. Maksudnya, data satelit itu memerlukan masa untuk dianalisis.

''Itu negara-negara yang mempunyai satelit, pakar untuk menganalisis. Apa lagi dalam keadaan kita yang mempunyai pelbagai kekurangan. Kita harus ambil pengajaran ini dan membuat persiapan sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menggesa semua pihak supaya menghentikan pelbagai tuduhan dan spekulasi berhubung usaha kerajaan dalam operasi SAR.

''Ada cerita yang tidak tepat disebarkan. Ini membimbangkan kita. Apa akan berlaku jika rakyat di China percaya dengan isu-isu (cerita) itu? Isu-isu sensitif ini perlu dihentikan," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140326/dn_01/SAR-masuki-fasa-baharu#ixzz2x1xAdSdV  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: