SEPANG 14 Mac - Agensi antarabangsa yang mempunyai kepakaran tinggi dalam industri penerbangan memperakui keputusan Malaysia untuk melakukan usaha mencari dan menyelamat secara serentak di Selat Melaka dan Laut China Selatan sebagai tepat.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perakuan itu dibuat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, usaha mengesan pesawat itu juga akan diperluaskan ke timur Laut China Selatan dan ke arah
Lautan Hindi memandangkan operasi carian sebelum ini gagal menunjukkan apa-apa tanda penting.
"Usaha pencarian di sebelah barat dan timur Semenanjung harus dijalankan serentak kerana plot yang dikesan di Selat Melaka oleh radar tentera tidak dapat dipastikan sebagai pesawat MH370 atau sebaliknya.
"Kita tidak boleh menafikan sebarang kemungkinan termasuk pesawat MH370 telah berpatah balik dalam penerbangan ke China, kita juga tidak boleh melepaskan kemungkinan di Laut China Selatan" katanya dalam sidang akhbar di pusat media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan menyiasat laporan agensi media antarabangsa bahawa pesawat MH370 telah menghantar isyarat automatik rutin ke satelit selepas kapal terbang itu dilaporkan hilang.
"Kita tidak mempunyai maklumat yang lengkap pada masa ini, kita juga perlu mengenal pasti siapa yang mengeluarkan kenyataan berkenaan," katanya.
Tambahnya, Cabang Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), United Kingdom (UK) dan Rolls-Royce telah sampai di negara ini untuk membantu mengenal pasti pelbagai persoalan mengenai kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pihaknya pada masa yang sama akan menyiasat penemuan penyelidik dari universiti di China yang mengesan pergerakan di dasar laut pada pukul 2.55 pagi, Sabtu lalu, iaitu kira-kira sejam setengah selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang.
Agensi Berita Xinhua melaporkan, gegaran di dasar laut itu berlaku kira-kira 116 kilometer (km) dari tempat pesawat MH370 dilaporkan terputus hubungan.
Mengenai transponder pesawat MH370 yang dilapor mungkin dipadamkan, Hishammuddin berkata, beberapa keadaan boleh menyebabkan alat itu padam.
"Transponder boleh dipadamkan secara sengaja, dipadamkan dalam keadaan tertekan atau berlaku letupan," katanya.
Transponder memainkan peranan untuk membolehkan pengawal trafik udara mengenal pasti kelajuan dan hala tuju pesawat.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya perlu memperbetulkan pelbagai maklumat yang tidak tepat sejak kehilangan pesawat MH370.
"Kita perlu memperbetulkan maklumat sebelum ini yang melaporkan pesawat MH370 telah mendarat di Nanning. Maklumat seperti ini bukan dikeluarkan oleh kita," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_02/Keputusan-Malaysia-diiktiraf#ixzz2wB4NP0P0 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment