Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 11 March 2014

Pakar 'bingung' pesawat hilang






Kapal Penyelamat Kawalan Pantai China (kanan) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan rondaan di kawasan yang dipercayai MH370 hilang dari radar di perairan Laut China Selatan, semalam. - Gambar Ihsan Unit Perhubungan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu.

Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya ini selama puluhan tahun.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu' walaupun sudah masuk hari ketiga.

"Kita tahu dan sedia maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan. Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan.

"Saya sendiri tidak pasti apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Industri penerbangan Malaysia semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi.

Sebanyak 34 pesawat dan 40 kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan.

"Menara kawalan tidak menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati. Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi dan mustahil untuk ditafsirkan.

"Mungkin berlaku perkara yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan," katanya.

Tambahnya, beliau dimaklumkan pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan.

Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut.

"Ini hanyalah salah satu andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke perairan Malaysia.

"Walau bagaimanapun, semua andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya.

Sementara itu, seorang juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa, dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat MH370 akan mendapat petanda penting.

"Saya rasa kita akan dapat dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak.

"Tidak mungkin pesawat itu hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah" katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_08/Pakar-bingung-pesawat-hilang#ixzz2vczdHEdH  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: