Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 11 March 2014

Kes Sodomi II: Bila hakim bicara salah arah diri


SALLEH BUANG






BAGI kebanyakan orang, andainya seorang itu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman penjara, sebaik-baik sahaja tamat prosiding di mahkamah, dia akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukumannya.

Tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sebarangan orang. Dia mantan Timbalan Perdana Menteri, orang kuat PKR dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Mengikut orang kanannya Azmin Ali, Anwar ialah “seorang figura awam terkemuka di peringkat global."

Walaupun Anwar telah disabitkan kesalahan liwat pada Jumaat 7 Februari 2014 lalu oleh Mahkamah Rayuan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, pasukan peguamnya telah segera memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sambil menunggu mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan selanjutnya terhadap sabitan itu.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan hakim bicara Mohd Zabidin Mohd Diah, yang mendapati Anwar tidak bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 9 Januari 2012.

Walaupun buat sementara waktu Anwar terus bebas dan tak perlu masuk penjara, beberapa persoalan penting terus menjadi tanda tanya. Apakah Anwar terpaksa mengosongkan kerusinya di Permatang Pauh? Apakah dia akan dibenarkan bertanding di Pilihan Raya Kecil Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi? Andainya dia boleh bertanding dan menang, apakah dia akan berjaya mencapai cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim?

Kes Sodomi II

Anwar dituduh melakukan kesalahan meliwat pembantunya (pada masa itu) Saiful Bukhari pada 7 Ogos 2008. Dua tahun berlalu sebelum akhirnya pada 1 Februari 2010 dia tampil di mahkamah untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah.

Kes ini dipanggil sebagai kes ‘Sodomi II’ kerana sebelum ini Anwar telah pun menghadapi pertuduhan meliwat seorang lain (Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya), di mana dia disabitkan oleh Mahkamah bicara tetapi akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan manfaat keraguan (the benefit of the doubt) mesti diberi kepadanya.

Empat bulan selepas kes Sodomi II ini mula didengar, pada 16 Mei 2010 hakim bicara Mohd Zabidin mendapati pasukan pendakwa telah berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu Anwar dipanggil membela diri.

Apa yang menghairankan banyak pihak adalah walaupun di peringkat awal hakim bicara puas hati ada kes prima facie terhadap Anwar, pada 9 Januari 2012 hakim mendapati Anwar tidak bersalah. Hakim memutuskan demikian kerana pada pendapatnya “integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful" tidak 100 peratus jelas dan meyakinkan.

Hakim bicara itu juga telah menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.

Prinsip penting ini perlu kita fahami, iaitu Anwar dibebas dan dilepaskan oleh hakim bicara kerana sebagai tertuduh dia berhak diberi the benefit of the doubt tentang kesahihan keputusan ujian sampel DNA berkenaan.

Terkilan dengan keputusan acquittal and discharge hakim bicara inilah pasukan pendakwa telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sekarang, kira-kira dua tahun selepas itu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati hakim bicara telah gagal membuat penilaian sewajarnya terhadap keterangan yang dikemukakan di mahkamah, termasuklah keterangan yang diberi oleh Jude Pereira, salah seorang saksi pasukan pendakwa.

Mengikut Mahkamah Rayuan, tidak ada alasan bagi hakim bicara membuat dapatan yang berbeza di peringkat prosiding yang berbeza. Jika dulu, sewaktu mendapati ada kes prima facie di penghujung kes pendakwaan, hakim bicara ada menyatakan Jude Pereira ialah seorang saksi yang boleh dipercayai, berkelayakan dan berpengalaman dalam keputusannya (an impeccable, qualified and experienced witness), kenapa kemudian (setelah mendengar pasukan pembelaan mengemukakan kesnya) hakim bicara berpendapat sebaliknya pula?

Mengikut Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang menyampaikan keputusan bagi pihak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan; “Tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan,".

Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan memutuskan - “Kita dapati hakim bicara telah membuat salah arah diri mengenai integriti keterangan. Kita benarkan rayuan dan ketepikan penghakiman Mahkamah Tinggi."

Kes Sodomi II Anwar Ibrahim mengambil masa hampir enam tahun dari peringkat mula hingga peringkat pertengahan ini. Pastinya kini pasukan peguamnya akan merayu ke Mahkamah Persekutuan. Mengikut prosedur, mereka terpaksa mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Ramai menjangka izin akan diberi, seperti yang telah berlaku dalam kes Sodomi I dulu.

Hakim fakta dan hakim undang-undang

Setelah sistem juri dimansuhkan di negara ini, setiap hakim bicara yang mengendalikan kes jenayah itu akan memainkan dua peranan penting - dia ialah hakim undang-undang (judge of law), dan dia juga ialah hakim fakta (judge of fact).

Apabila hakim bicara menerima keterangan di mahkamah (menerusi saksi biasa dan saksi pakar) serta menilai barang bukti (weight of the evidence) seperti sampel DNA dan sebagainya, hakim bicara (sebagai hakim fakta) akan membuat dapatan fakta (finding of fact). Dia akan melihatnya dari sudut soalan: “Apakah sudah cukup fakta untuk mensabitkan tertuduh?"

Selain itu, hakim bicara juga akan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak (pasukan pendakwa dan pasukan peguam bela tertuduh) mengenai undang-undang. Setiap isu undang-undang, kecil atau besar, perlu diperhatikan, hujah kedua-dua pihak didengar dan dinilai, dan akhirnya barulah boleh diputuskan sama ada pasukan pendakwa telah dapat membuktikan hingga melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh benar-benar bersalah.

Tertuduh tidak boleh disabitkan hanya disebabkan syak sahaja (merely on suspicion). Tertuduh tidak boleh disabitkan jika hakim bicara masih ragu-ragu lagi tentang fakta dan tentang undang-undang.

Dalam kes Sodomi II ini, hakim bicara tidak yakin dengan integriti sampel DNA dan kredibiliti saksi pendakwa bernama Jude Pereira. Oleh itu dia menyatakan “adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh".

Semasa kita masih mengamalkan sistem juri dulu, hakim bicara ialah hakim undang-undang manakala juri kita ialah hakim fakta. Persoalan sama ada tertuduh sabit ataupun tidak, keputusan ini akan dibuat oleh juri setelah juri mendengar ‘arahan’ daripada hakim bicara.

Kini bila sistem juri tidak diamalkan lagi, hakim bicara terpaksa memutuskan sendiri tentang fakta dan undang-undang. Dia akan membuat dapatan fakta (finding of fact) dan membuat keputusan tentang undang-undang (ruling on the law).

Di sinilah seorang hakim fakta itu boleh membuat khilaf atau silap, dan kesilapan inilah yang dipanggil ‘salah arah diri’ bila keputusannya itu diperiksa dan diteliti semula oleh mahkamah di peringkat rayuan.

Sekiranya salah arah diri hakim bicara itu didapati mencacatkan atau menjejaskan penghakimannya, keputusan hakim bicara itu terpaksa diketepikan. Inilah yang berlaku dalam kes Sodomi II.

* PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140309/re_08/Kes-Sodomi-II-Bila-hakim-bicara--salah-arah-diri#ixzz2vcpWjfBz  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: