KUALA LUMPUR 14 Mac - Kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan keadaan cuaca berjerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini menjadi isi khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.
Khutbah bertajuk Hikmah di Sebalik Ujian Allah itu mengingatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak memanipulasikan kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan menyebarkan berita-berita palsu menerusi pelbagai medium termasuk internet.
Menurut Jakim, umat Islam yang bertakwa kepada Allah dan percaya kepada hari akhirat hendaklah menjaga akhlak serta adab-adab ketika berbicara bagi menjaga perasaan keluarga mangsa kejadian berkenaan.
Jabatan itu turut menyeru masjid dan surau di seluruh negara agar terus mengadakan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT memohon misteri kehilangan pesawat berkenaan dapat diselesaikan segera.
"Marilah kita sama-sama bermuafakat untuk membantu menenangkan hati dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Sebagai seorang muslim yang prihatin dan beriman serta kepada seluruh masjid dan surau dalam negara ini, marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT agar segala kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin," seru Jakim.
Khutbah Jumaat berkenaan turut dibacakan di Masjid Negara, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jelas Jakim, kehidupan di dunia merupakan satu ujian daripada Allah SWT melalui pelbagai bentuk sama ada kesenangan, kebahagiaan, kesedihan dan malapetaka yang menimpa diri sendiri, kaum keluarga, masyarakat atau negara.
Khutbah itu mengimbas sejarah Nabi Ayub AS yang banyak menerima ujian dalam hidupnya seperti kehilangan anak kesayangan, kehabisan harta, menghidap penyakit dan dijauhi kaum kerabat serta isterinya sendiri.
Namun jelas Jakim, Nabi Ayub AS menghadapi ujian-ujian tersebut dengan penuh kesabaran dan berkeyakinan bahawa semua ketentuan Allah SWT mengandungi pelbagai hikmah di sebaliknya.
"Ketahuilah bahawa setiap ujian yang menimpa manusia mempunyai beberapa pengajaran berbeza. Bagi mereka yang beriman, maka ujian ditimpakan merupakan satu iktibar dan merupakan satu peringatan dalam bentuk kasih sayang dari Allah SWT agar mereka kembali pada jalan-Nya.
"Yang penting kita harus sabar menghadapinya. Ujian yang diturunkan Allah SWT kepada kita, pasti sudah ditetapkan dengan penuh keadilan. Tak mungkin ujian yang menimpa itu, melampaui batas kemampuan kita kerana Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya," jelas Jakim.
Dalam pada itu, Jakim turut mengambil kesempatan menerusi khutbah Jumaat berkenaan untuk menyeru orang ramai supaya sama-sama mengambil peranan bagi memastikan keadaan berjerebu yang melanda negara pada masa ini tidak berpanjangan.
Menurut Jakim, beberapa langkah boleh diambil iaitu mematuhi amaran dan nasihat pihak berwajib dalam menangani masalah jerebu, mengurangkan aktiviti luar yang dapat menjejaskan kesihatan dan kehidupan serta mengawal pencemaran udara seperti melakukan pembakaran terbuka.
"Di samping itu kita perlu memastikan minum air bersih lebih banyak daripada biasa dan kerap membersihkan diri selain memakai alat perlindungan pernafasan apabila berada di luar rumah," katanya.
Khutbah itu diakhiri dengan meminta semua pihak supaya mengambil iktibar dengan yakin bahawa setiap ujian merupakan tanda kasih Allah SWT pada hamba-Nya dan sentiasa optimistik bahawa boleh menyelesaikan setiap ujian hidup diberikan.
"Hadapilah ujian hidup dengan usaha dan doa. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita, Insya-Allah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, optimistik, ikhtiar yang maksimum serta diikuti dengan doa," jelas Jakim.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_05/Khutbah-Jakim-sentuh-kejadian-MH370-cuaca-jerebu#ixzz2wB7HVS1Z © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment