Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 4 March 2014

Mara terus jadi penggerak


Oleh ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak menekan butang merasmikan Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama Mohd. Shafie Apdal, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (dua dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhammad (kiri), Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa (empat dari kiri) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kanan).

KUALA LUMPUR 3 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus menjadi penggerak dan jentera utama kepada aspirasi kerajaan dalam membangunkan masyarakat bumiputera di negara ini terutamanya dalam bidang pendidikan, keusahawanan serta pelaburan.

Aspirasi tersebut bukan omongan tetapi dirangka dengan jelas menerusi Pelan Transformasi Mara 2011-2015 yang merupakan pelan strategik lima tahun badan itu bagi memastikan kesinambungan kejayaan mengangkat martabat masyarakat bumiputera terus diperkasakan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelan strategik yang digerakkan melalui pendekatan bersepadu dengan menterjemah agenda transformasi negara dilaksanakan secara integrasi bagi memaksimumkan hasil.

"Mara mahu melahirkan sekurang-kurangnya satu keluarga satu usahawan menjelang tahun 2020 kerana kita yakin mampu merubah suasana sosioekonomi dan pemikiran masyarakat bumiputera daripada menjadi pekerja kepada mencipta peluang pekerjaan.

"Kita mahu anak-anak kita pada masa akan datang bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang tetapi menjadi tulang belakang kepada setiap pembangunan negara," katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Menara Mara itu.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, sejak diwujudkan, Mara telah banyak menyumbang kepada kejayaan bumiputera terutama dalam aspek modal insan apabila ramai bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) kini menerajui industri terkemuka.

Jelasnya, hal yang sama juga diraih dalam sektor pelaburan apabila anak-anak syarikat Mara berjaya mencatat pendapatan sebanyak RM1.05 bilion manakala prestasi kutipan pembiayaan pula meningkat sebanyak RM786 juta, jauh melepasi sasaran awal RM550 juta.

Pada masa sama, beliau menambah, Mara kini turut memberikan fokus kepada pembangunan industri makanan halal merangkumi aktiviti penyelidikan serta pembangunan Halal Park di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Bagi tujuan ini, sebanyak RM260 juta diperuntukkan bagi penyediaan pembiayaan yang merangkumi Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM), Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) dan Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)," ujarnya.

Mengenai perancangan pengurusan Mara pula, Mohd. Shafie berkata, organisasi itu yang memiliki 18,563 kakitangan kini agresif dalam meningkatkan keupayaan intelektual warganya melalui pelbagai program terutama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, keupayaan intelektual penting untuk memastikan Mara sentiasa bersedia menghadapi cabaran selain turut berusaha menambah baik skim perkhidmatan sedia ada agar organisasi itu berupaya menarik lebih ramai tenaga kerja yang terbaik demi kelangsungan bumiputera.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, Mara akan turut mewujudkan ekosistem yang mampu membuka peluang baharu kepada bumiputera melalui pembangunan projek di bawah konsep Edubizpark.

Katanya, projek Mara di bawah Edubizpark ialah Asia Aerospace City Subang yang memberi tumpuan pada pusat kejuruteraan aeroangkasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_03/Mara-terus-jadi-penggerak#ixzz2ux40AFa4  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: