Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 4 March 2014

Usaha bantu bumiputera wajar - PM


Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NAWWAR ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my




Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu beliau menegaskan, sebarang bantuan kerajaan ke atas masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan sosial.

Katanya, berbanding pembangkang yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, kerajaan BN di bawah kepimpinan beliau beriltizam dan berjanji akan menyokong serta membantu kaum majoriti itu.

"Api perjuangan hasil Kongres Ekonomi 1965 yang dicetuskan Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam hati sanubari saya. Yakinlah atas semangat itu, saya dan barisan Kabinet pimpinan saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.

"Sebab itu apabila Mara memohon dana RM400 juta, saya bagi RM800 juta kerana saya tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera terbantut. Saya mahu kesinambungan dan kelancaran program yang dilaksanakan Mara lancar.

"Tetapi saya mahu lihat bumiputera yang dibantu ini layak secara merit iaitu mereka memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya, bukan pelobi," katanya semasa berucap merasmikan Menara Mara di sini malam ini.

Majlis perasmian tersebut yang bersempena dengan Sambutan 48 Tahun Mara berlangsung dalam suasana yang penuh bersejarah dan gemilang selain turut diserikan dengan persembahan artis tersohor tempatan serta percikan pelbagai jenis bunga api.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Najib berkata, Mara adalah sebuah kisah perjuangan yang panjang hasil komitmen serta kesungguhan politik kerajaan BN dan sepanjang 48 tahun kewujudannya, agensi berkenaan telah membantu kira-kira empat juta bumiputera.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah besar dan ramai dalam kalangan usahawan dan profesional bumiputera yang berjaya pada hari ini termasuk orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, antara produk yang dibantu Mara.

"Inilah yang saya mahu lihat. Usahawan bumiputera yang berjaya dan kemudian mengenang jasa Mara dengan menjelaskan kebaikan Mara dan kerajaan kepada rakyat dan saya mahu lebih ramai anak-anak Mara dilahirkan pada masa akan datang.

"Mereka wajar dibantu kerana sudah tentu tidak adil untuk membandingkan anak-anak yang lahir di Bukit Tunku dengan Hulu Tembeling. Kalau tidak dibantu, nasib anak-anak ini kekal seperti mana kehidupan sedia kala tanpa perubahan," jelasnya.

Menyentuh mengenai Menara Mara, Najib berkata, bangunan setinggi 30 tingkat itu adalah lambang kejayaan kerajaan dan agensi berkenaan membantu serta mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain.

Beliau seterusnya berdoa Mara terus menjadi salah sebuah agensi terunggul bagi menjulang masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan serta keusahawanan melalui pelbagai program komprehensif yang telah dan sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140304/dn_01/Usaha-bantu-bumiputera-wajar---PM#ixzz2ux1Ed2YT  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: