Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 11 March 2014

Jangan mudah mengkafir







ADA semacam tarikan atau aura tersendiri sebaik berpeluang mendekati tokoh pendakwah dan qasidah terkenal Indonesia, HABIB SYECH AS SEGGAF.


Wajahnya tenang serta tutur katanya yang lembut tetapi penuh hemah mampu membuatkan seseorang tertarik untuk mendengar bicaranya lebih mendalam.

Walaupun berasal dari Indonesia namun namanya kini semakin harum di tanah air. Ketika acara Kembara Dakwah: Malam Cinta Rasul diadakan di Dataran Merdeka Mac tahun lepas, lebih 70,000 umat Islam menyertai beliau bersama kepimpinan negara pada program itu.

Dan ketika pertemuan berlangsung, beliau sedang sibuk untuk menghadirkan diri ke Majlis Malam Cinta Allah dan Rasul yang beliau mengetuainya. Majlis tersebut yang berlangsung di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya malam tadi sekali lagi mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Dalam pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, Habib Syech menyatakan pandangannya tentang kenapa perlunya umat Islam berbalah sesama sendiri selain melihat perbuatan saling kafir mengkafir sesama Islam hanya akan memudaratkan lagi kedudukan umat Islam yang kini semakin terhimpit.
MINGGUAN: Pak Syech merupakan nama besar di Indonesia dalam bidang dakwah dan kini semakin dikenali di Malaysia. Bagaimana sambutan rakyat negara ini dan apa perasaan Pak Syech?

SYECH AS SEGGAF: Alhamdulillah, sambutan yang saya terima sangat membanggakan dan saya sebenarnya berdakwah melalui muzik. Bagi saya dakwah melalui cara ini lebih mengenal dan dekat kepada masyarakat. Setakat ini Alhamdulillah, sudah semakin berkembang di Indonesia walaupun belum ke tahap maksimum dan saya sangat bersyukur semakin berkembang ke Malaysia. Saya sebenarnya tidak menyangka rakyat Malaysia boleh menerima dakwah yang saya cuba sampaikan. Ini mungkin kerana kebaikan orang-orang Malaysia yang mahu mengenali Allah dan Rasul-Nya dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Saya melihat ini seperti yang dilalui oleh Rasulullah SAW ketika melakukan Hijrah. Waktu beliau berhijrah dari Mekah ke Madinah dan kemudian di sambut dengan baik oleh warga Madinah, membuktikan hijrah dan dakwah Rasulullah SAW berjaya. Begitu juga dakwah saya yang bermula di Indonesia dan kini ke Malaysia, Alhamdulillah ia disambut dengan baik dan cukup berhasil.

Pendekatan dakwah Pak Syech melalui muzik, Boleh huraikan lebih lanjut?

SYECH AS SEGGAF: Saya sebenarnya sangat senang dengan muzik dan meminati muzik jazz dan sebagainya. Saya tidak mengharamkan muzik dan mempersilakan sesiapa mendengar muzik tetapi janganlah sehingga lalai kepada Allah dan Rasul-Nya. Ada yang mengatakan muzik sebagai haram dan memang benar jika muzik itu membawa kita ke tempat maksiat maka ia adalah haram.

Tetapi jika muzik itu mampu mendekatkan kita kepada Maha Pencipta dan Rasul-Nya tidak ada masalah. Malah jika ia melibatkan muzik-muzik Melayu yang menjadi kegemaran saya, sudah tentu ia tidak menjadi masalah. Saya sangat menyukai pelakon terhebat Malaysia, P. Ramlee dan muziknya juga sering saya dengari.

Masalah utama umat Islam adalah tidak mementingkan penyatuan dan sering sahaja berbalah tentang apa sahaja isu terutamanya politik. Mungkin Pak Syech boleh huraikan perkara ini?

SYECH AS SEGGAF: Sesungguhnya Rasulullah sering menganjurkan supaya kita saling mengasihi dan menyintai sesama umat Islam. Perbezaan itu sudah tentu ada tetapi jangan merasakan diri lebih baik atau betul berbanding orang lain. Kalau merasakan diri mempunyai ilmu yang lebih baik maka ajaklah orang lain yang mungkin kurang ilmunya bersama melakukan amal yang baik. Seperti mana Rasulullah SAW yang mengajak orang ke jalan yang benar melalui cara yang betul. Tetapi kita adakalanya mengajak orang dengan cara yang keras dan sebagainya.

Hakikatnya Islam itu indah dan membenarkan kita berdampingan dengan sesiapa sahaja di dunia ini. Begitu juga di Malaysia masyarakatnya perlu sahaja menyatu dan bukannya saling mencaci dan menyalahkan antara satu sama lain.

Mereka yang beramal baik adalah mereka yang saling mengajak ke arah kebaikan, menyintai dan mengambil berat tentang orang lain.

Namun di sebalik kebaikan itu sudah pasti ada musuh-musuh yang mahu merosakkan perkara yang baik. Syaitan sering sahaja membisikkan kepada kita supaya merasakan diri kita ini paling benar. Mereka yang merasakan dirinya benar dan bagus belum tentu lagi dirinya benar kerana mereka sebenarnya adalah orang yang paling tidak benar.

Hakikatnya mereka yang benar adalah mereka yang merasakan dirinya serba kekurangan dan sering mencari jalan dan ilmu untuk menutupi kekurangan dirinya dan kemudian menyalurkan pula kepada saudara-saudara Muslim yang lain.

Masalah merasakan diri mereka betul dan melabel orang lain tidak betul dan saling kafir mengkafir sudah umpama barah yang sangat berbahaya. Mungkin Pak Syech boleh memberi nasihat?

SYECH AS SEGGAF: Apakah kita mampu mengata seseorang itu kafir hanya kerana amalan dan perbuatan sepanjang hidupnya. Kita tidak boleh mengkafirkan orang lain hanya kerana seseorang mempunyai lebih ilmu agama maka sewenang-wenangnya mereka menjatuh hukum kafir. Bukankah lebih baik jika kita nampak seseorang itu melakukan kesilapan, kita ajak mereka kembali ke jalan yang benar dan melakukan perkara yang baik dan bukannya dengan menjatuh hukum atau melabel seseorang yang lain itu sebagai kafir atau sesat.

Kita perlu ajak mereka melakukan perkara kebaikan dan bukan menghukum kerana merasakan ilmu dalam diri lebih baik daripada orang lain. Kita tidak dibenarkan untuk membuka aib atau kejelikan seseorang apatah lagi dengan mudah mengatakan orang lain itu buruk atau kafir. Jika seseorang menyatakan orang lain itu kafir maka dia juga sudah jatuh kafir. Jika seseorang dituduh sebagai kafir belum tentu lagi dia kafir.

Keadaan sekarang begitu ramai yang membawa al-Quran dan menyatakan ini pegangan kita. Dalam al-Quran ada menyatakan supaya kita menyintai Allah dan Rasul-Nya serta menyatakan selawat ke atas junjungan besar kita.

Sudah tentu meraikan junjungan besar kita bukan satu perkara yang salah dan Rasulullah juga tidak pernah melarang perbuatan ini. Kita perlu faham bahawa ada Sunnah yang dilakukan, yang diucapkan dan dilihat oleh Rasulullah.

Sebagai contoh, janganlah kerana kita berqasidah, menyatakan cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW dikatakan kafir.

Mungkin kita ada cara tersendiri dalam menyatakan kesyukuran dan perasaan kasih dan cinta pada Rasulullah SAW, tidak menjadi masalah jika masing-masing mempunyai cara mereka tetapi janganlah menyimpang daripada ajaran Islam serta jangan terlalu mudah menyatakan orang lain kafir hanya kerana cara yang berbeza. Itu adalah kerja Tuhan dan janganlah kita terperangkap melabel orang itu sesat dan kafir kerana hanya Allah sahaja yang maha mengetahui di sebalik setiap sesuatu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140309/re_07/Jangan-mudah-mengkafir#ixzz2vcjMxk9l  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: