MELBOURNE - Pemandu Mercedes, Nico Rosberg melakar kemenangan selesa pada perlumbaan pembukaan musim Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Australia, semalam selepas pelumba yang bermula di petak pertama, Lewis Hamilton dan juara dunia, Sebastian Vettel gagal menamatkan persaingan ekoran masalah mekanikal.
Rakan sepasukan Vettel, Daniel Ricciardo dari Red Bull menamatkan perlumbaan di tangga kedua, sekali gus muncul pemandu pertama Australia yang berjaya menaiki podium di tanah air sendiri, sementara pelumba McLaren yang melakukan kemunculan pertama, Kevin Magnussen berada di kedudukan ketiga.
Rosberg memulakan perlumbaan di petak ketiga dan berjaya menempatkan dirinya di kedudukan pendahulu pada selekoh pertama, sebelum menjarakkan jenteranya daripada lapangan untuk mengakhiri perlumbaan dengan kelebihan 24.5 saat di litar jalan raya Albert Park.
Kewibawaan dan prestasi yang dipamerkan telah cukup untuk menunjukkan mengapa Mercedes merupakan pasukan pilihan untuk merangkul gelaran pengeluar musim ini.
Saya memiliki sebuah jentera yang cukup laju hari ini (semalam). Saya berasa cukup puas hati ketika memandu dan ini merupakan satu perasaan yang hebat dan saya tidak sabar untuk bersaing pada perlumbaan berikut," kata Rosberg, anak kepada juara dunia, Keke yang pernah memenangi GP Australia pada penganjuran pertama dalam tahun 1985.
Hamilton tidak meneruskan perlumbaan selepas melakukan empat pusingan, diikuti oleh Vettel sejurus selepas itu, setelah kedua-dua pemandu berkenaan mengalami kegagalan enjin, yang menunjukkan pasukan mereka masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan enjin baharu F1 iaitu enjin hibrid turbo V6.
Kami bermula dengan baik, tetapi selepas itu jentera kami mula berdepan masalah. Namun, kami akan bangkit kembali," kata Hamilton.
Seperti Mercedes, hanya seorang pemandu Red Bull yang melengkapkan perlumbaan itu, sementara pelumba utama mereka masih bergelut dengan masalah enjin yang menyebabkan Vettel gagal menamatkan persaingan.
Kami tahu jentera kami laju, kami cuma perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Tidak diragui kami mampu mengatasi masalah ini, cuma yang menjadi persoalan berapa lama masa diperlukan?" kata Vettel.
Pelumba McLaren, Jenson Button menamatkan perlumbaan di tempat keempat iaitu di belakang rakan sepasukannya, sementara pemandu Ferrari, Fernando Alonso di kedudukan kelima. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140317/sl_02/Rosberg-juara-GP-Australia#ixzz2wC7AgRKo © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment