Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 17 March 2014

Politik kotor muncul kembali


Oleh Salleh Buang







Aksi Anwar Ibrahim sewaktu meninggalkan mahkamah di Putrajaya, pada 7 Mac lalu, selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat pembantunya . - AGENSI

ANTARA kenyataan yang amat menarik sehari dua ini pada saya adalah kata-kata Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Apabila mengulas tentang Manifesto Kajang yang dilancarkan oleh Wan Azizah sebagai pengisian kempennya, Shafie berkata; “Dia presiden parti. Tak perlu buat manifesto lagi. Beri arahan sahaja kepada Menteri Besar (Selangor) untuk buat kerja."

Manifesto Kajang itu menyatakan empat komitmen calon - membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalu lintas dan meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang.

Pastinya kita rakyat Malaysia (terutama pengundi Kajang) masih ingat kata-kata aneh Tan Sri Khalid Ibrahim, orang kuat PKR, pada satu masa dulu bila dia menyatakan bahawa manifesto bukan janji.

Pada mulanya saya jangkakan tahap politik pembangkang di negara ini sudah matang dan bertanggungjawab. Ternyata kini jangkaan saya itu silap dan harapan tinggi saya meleset.

Dalam media sosial kini sudah ada klip video mengandungi sedutan ucapan Azmin Ali sewaktu berkempen bagi pihak Wan Azizah baru-baru ini. Dalam nada suara yang tinggi (stail biasa dia berucap) dia berkata bahawa; “Datuk Seri Najib (Tun Razak), Perdana Menteri kita ialah haiwan ternakan Tun Dr. Mahathir (Mohamad)".

Ayat ini diucapkannya berkali-kali, menzahirkan rasa kebencian yang amat sangat. (http://medan-info-kita.blogspot.com/2014/03/video-ini-memang-panaassss-bukan-main.html)

Azmin kemudian mengapi-apikan rakyat supaya menggulingkan “kerajaan BN yang jahat menerusi protes jalanan". Azmin juga berjanji dan berikrar Anwar tidak akan merengkok walau sehari pun dalam penjara.

Dia juga mendakwa “demokrasi sudah mati di negara ini. Hanya satu cara kita boleh menang, iaitu melalui protes jalanan". (http://lifeofaannie.blogspot.com/2014/03/anwar-innocent-my-ass.html)

Inilah yang dipanggil ‘gutter politics’ (politik longkang) yang amat kotor, busuk dan berbahaya sekali.

Mereka bukan berkempen dengan memaklumkan pengundi apa kebaikan untuk rakyat yang telah dapat mereka lakukan pada masa lalu, atau dirancang akan dilakukan pada masa depan. Sebaliknya apa yang mereka lakukan adalah membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu sambil menuduh demokrasi tidak wujud lagi di negara ini.

Jika tidak membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu, mereka menjadikan institusi kehakiman negara ini sebagai ‘punching bag’ mereka.

Dalam kempen PRK Kajang ini, mereka menuduh kerajaan telah menyalahgunakan mahkamah untuk menganiayai Anwar Ibrahim, yang akibatnya pemimpin kesayangan mereka itu hilang kelayakan untuk bertanding, sekali gus memadamkan cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Mereka terlupa (atau sengaja melupakan) fakta sebenar yang menunjukkan bahawa mahkamah telahpun menetapkan tarikh pendengaran rayuan pasukan pendakwa dalam kes Sodomi II. Hakikatnya Anwar yang merancang perletakan jawatan ADUN sedia ada (Lee Chin Cheh) bagi membolehkan dia bertanding dalam PRK Kajang ini.

Penganalisis politik mengatakan bahawa antara matlamat Anwar menyebabkan PRK Kajang ini terpaksa diadakan adalah bagi memberi tekanan kepada Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria merasa terpanggil menjawab tohmahan jahat ini. Katanya; “Saya boleh beri jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, mereka perlu beri alasan dan alasan ini tertakluk kepada penelitian Mahkamah Rayuan".

Ditakdirkan sewaktu segala panglima dan hulubalang PKR mendakwa ketua mereka dizalimi oleh Mahkamah Rayuan apabila dia disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan Anwar meliwat pembantunya itu tidak salah kerana ia dilakukan atas dasar suka sama suka. Sama ada dia sedar atau pun tidak, perbuatan Christopher itu memusnahkan asas tuduhan liar pembangkang bahawa mahkamah telah menzalimi Anwar.

Sementara segala panglima dan hulubalang PKR terus mengatakan ketua mereka tidak pernah melakukan liwat, Christopher mengakui liwat berlaku, cuma pada pendapatnya ia sepatutnya dibenarkan dan bukan satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Liwat bukan satu kesalahan jenayah di banyak negara barat. Mengikut Wikipedia, liwat masih lagi satu kesalahan jenayah di 70 negara (dari 195 negara di dunia).

Memikirkan kembali kata-kata liar Azmin menggelar Najib sebagai ‘haiwan ternakan’ Dr. Mahathir ini, saya teringat kepada komen Datuk Nik Aziz Nik Mat satu ketika dulu mengenai rakyat negara ini yang menerima BR1M. Mengikut Nik Aziz, penerima bantuan itu umpama lembu dan ayam yang diberi hampas kelapa dan padi.

Yang menghairankan kita, semasa berkempen dalam PRK Galas ada laporan media yang menunjukkan dia juga ada memberi bantuan wang kepada pengundi.

Pada awal Februari lalu, sebuah portal propembangkang memetik veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai bertanya; “Apakah PRK Kajang akan menjadi pilihan raya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia?"

Kedua-dua kemungkinan itu ada, katanya. Segala-galanya bergantung kepada calon-calon yang bertanding (daripada BN dan Pakatan Rakyat) dan badan penyelia seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PDRM dan sebagainya, tambahnya lagi.

Saya rasa kita sudah tahu jawapannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140315/re_01/Politik-kotor-muncul-kembali#ixzz2wBU1zVih  © Utusan Melayu (M) Bhd 



KOMEN : PENGAMAL POLITIK LONGKANG, APA CHRISTOPHER DARI MAJLIS PEGUAM MALAYSIA CAKAP... ADA LIWAT...

No comments: