Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
HULU LANGAT 6 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya berhenti daripada 'bermain' politik dalam isu air di Selangor khususnya melibatkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu.
Ingatan tersebut disuarakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menegaskan rakyat sudah 'letih' dengan sikap Anwar yang terus mempertikaikan MoU antara Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Kerajaan Persekutuan itu.
Malah jelasnya, MoU ditandatangani kedua-dua pihak itu bukannya untuk kepentingan politik tetapi merupakan agenda mengutamakan rakyat.
"Cukuplah, jangan main politik. Saya fikir rakyat pun sudah letih dengan beliau (Anwar). Kita (MCA) rasa Penasihat PKR itu hanya mengutamakan kepentingan agenda sendiri dan melupakan isu rakyat.
"Bagi kita, apa sahaja cadangan yang membawa kebaikan kepada rakyat, perkara itu sepatutnya disokong," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden parti di Kajang dekat sini hari ini.
Perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Anwar semakin ketara dengan terbaharu kedua-dua mereka berbalah dalam isu persetujuan kerajaan negeri untuk menandatangani Perjanjian Awal dengan Kerajaan Persekutuan yang mengandungi maklumat terperinci tentang penstrukturan semula industri air di negeri tersebut.
Berhubung isu berkenaan, Anwar dikatakan telah mengeluarkan arahan supaya Abdul Khalid menangguhkan dahulu perjanjian berkenaan dengan alasan hal itu tidak boleh dilakukan selagi kepemimpinan negeri dan pakatan pembangkang tidak diberi penjelasan sepenuhnya.
Tiong Lai memberitahu, isu berkaitan bekalan air di Selangor sudah dibangkitkan sejak 2008 dan kerajaan negeri telah beberapa kali ditegur mengenai perkara tersebut.
"Sepatutnya, MoU itu sudah lama ditandatangani tetapi mereka sudah membuang masa selama enam tahun dengan berdolak-dalik, bermain politik sehinggakan masalah air diabaikan," ujarnya.
Sementara itu, beliau menyokong tindakan Abdul Khalid untuk mendedahkan dokumen MoU itu kepada umum dalam masa terdekat.
"Biar rakyat tahu apa perjanjiannya dan mereka juga nak memastikan perjanjian itu dilaksanakan, jangan ada pihak berdolak-dalik lagi," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan MCA akan mengutamakan keperluan dan permasalahan penduduk di Kajang jika calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
"Ini bukan gula-gula tetapi kalau calon kita menang, MCA akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perkhidmatan beliau (Mei Fun). Kita akan pastikan kebajikan dan masalah penduduk di Kajang serta pelbagai isu dapat diselesaikan sebaiknya," jelasnya.
Berkenaan kenaikan caj profesional hospital swasta pada purata 14.4 peratus, katanya, MCA akan menjalankan kajian lapangan mengenai perkara terbabit untuk maklum balas kerajaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140307/po_01/Perjanjian-air-Cukuplah-Anwar#ixzz2vFIZP1GW © Utusan Melayu (M) Bhd
KOMEN : SIAPA MB SELANGOR NI????? KHALID KE ANWAR DAN KENAPA AZMIN MEROYAN???
No comments:
Post a Comment