Oleh Hassan Mohd. Noor
SABTU lalu, ketika mengunjungi pasar malam Guar Perahu dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, saya sempat berbual-bual dengan beberapa 'orang lama' yang pernah menjadi orang kuat Anwar Ibrahim ketika bekas Presiden ABIM itu memilih UMNO pada 1982. Mereka ini pernah menjadi penggerak untuk membantu Anwar menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 1982. Perbualan berkaitan suasana politik semasa serta kekuatan UMNO sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan. Saya sengaja melontarkan persoalan mengenai kekuatan UMNO bahagian itu sekarang selepas mengalami kekalahan demi kekalahan sama ada dalam PRU atau PRK sebelum ini. Tidak dinafikan UMNO bahagian itu sudah berubah apabila kepemimpinannya diterajui ketua baharu, Mohd. Zaidi Mohd. Said. UMNO bahagian juga melakukan penjenamaan semula bangunannya dengan Wisma Transformasi.
Semoga transformasi itu bukan sekadar perubahan pemimpin dan wajah bangunan tetapi juga sikap, semangat dan mentaliti dalam usaha memperkasakan UMNO bahagian itu. Baguslah jika pemimpin bahagian mempunyai keazaman untuk melakukan transformasi seterusnya mendapatkan semula kerusi Permatang Pauh dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya. Berbalik kepada perbualan dengan `orang lama Permatang Pauh itu, mereka mengakui pengundi-pengundi yang sebaya dengan mereka sudah lama meninggalkan Anwar. Masalahnya orang baharu terutama kalangan anak muda yang begitu terpesona dengan gaya politik Anwar. Menyelak kembali prestasi di Permatang Pauh, BN atau UMNO mengalami kekalahan selepas Anwar yang sebelum itu mewakili BN (PRU 1982 hingga 1995) dipecat daripada UMNO. Sejak PRU 1999, kerusi Permatang Pauh beralih kepada Keadilan/PKR. Kerusi DUN juga dikuasai PKR (Penanti) sementara Pas di Permatang Pasir. Pada PRU lalu, DUN Seberang Jaya juga jatuh kepada PKR. BN juga tewas pada beberapa PRK di kawasan berkenaan.
Begitulah suasana di Permatang Pauh. Apakah episod seterusnya? Persoalan ini menarik perhatian kerana ketika dalam perjalanan pulang dari Permatang Pauh ke Kuala Lumpur semalam, saya diberitahu bahawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan untuk PRK DUN Kajang. Beberapa orang anggota UMNO Permatang Pauh dalam SMS kepada penulis berkata, Wan Azizah akan mendapat simpati, seperti yang diperoleh pada tahun 1999 ketika mempertahankan kerusi Permatang Pauh yang dimenangi Anwar. Mungkin faktor inilah yang menyebabkan Wan Azizah dipertaruhkan dalam PRK ini. PKR boleh menurunkan calon lain atau menghadiahkan kerusi itu kepada Pas dengan memberi ruang kepada bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib.
Kata Anwar: "berikutan keadaan semasa, Azizah adalah calon yang sesuai. Apakah keadaan semasa itu? Mungkinkah disebabkan hukuman penjara? Ramai yang berpendapat Wan Azizah akan mendapat undi simpati. Pada masa yang sama penarikan diri Anwar itu secara tidak langsung menamatkan kegelisahan dalam kalangan sesetengah anggota Pas yang khabarnya tidak senang dengan Anwar. Begitu juga dengan penyokong Menteri Besar (MB), Khalid Ibrahim yang sebelum ini gelisah dengan kemunculan Anwar. Zaid Ibrahim pula menarik diri bertanding kerana matlamatnya adalah untuk menghalang Anwar menjadi MB. Maka sokongan ke arah Wan Azizah.
Timbul juga persoalan sama ada Wan Azizah hanya dipilih sebagai `pemanas kerusi kepada Anwar.Jika benar , adakah apa yang berlaku di Permatang Pauh akan berulang di Kajang? Maknanya jika Anwar bebas, Wan Azizah (jika menang) akan sekali lagi memberi laluan kepada suami? Bagaimana pula jika Wan Azizah kalah dan Anwar bebas? Siapa pula `kambing hitam ? Adakah Kajang? Biar apa pun terjadi selepas ini, kempen PRK Kajang akan menjadi pentas untuk Anwar membela dirinya berhubung kes liwat. Ternyata permainan politik di Kajang ini memang hebat. Inilah yang dikatakan sebahagian episod drama Kajang.
Kembali ke Permatang Pauh, apa pula yang akan berlaku jika Anwar gagal dalam rayuan hukumannya? Adakah sekali lagi Wan Azizah akan kembali ke Permatang Pauh? Wan Azizah sudah melepasi tempoh lima tahun yang menghalangnya daripada bertanding selepas meletak jawatan pada Julai 2008.
DOAKAN YANG TERBAIK BUAT MH370
SEMALAM, ketika di dalam pesawat MH1149 dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, saya tidak dapat membayangkan apakah situasi sebenar yang berlaku terhadap MH370 yang dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing pada pagi Sabtu lalu. Pada masa yang sama, seperti biasa, saya juga mendoakan penerbangan ke KLIA berjalan baik walaupun dalam keadaan berjerebu. Syukur semuanya selamat. Selepas berada di ketinggian 25,000 kaki, juruterbang penerbangan Kapten Faizal (jika tidak silap) memberi salam dan membuat pengumuman rutin. Beliau menyusun tutur kata dalam nada agak perlahan . Antara lain, beliau memohon maaf atas kelewatan jadual penerbangan yang berlaku. Anak-anak kapal MH1149 juga masih mampu melemparkan senyuman dan melayani para penumpang. Semoga mereka dan seluruh kakitangan MAS tidak terganggu dengan kehilangan MH370.
Sama-samalah kita memberi sokongan moral kepada mereka. Elakkan sebarang spekulasi dan penyebaran berita yang tidak sahih. Tidak perlulah membuat pelbagai andaian atau teori yang mengelirukan. Hentikan kenyataan, kesimpulan, sindiran, kritikan bodoh atau tidak bertamadun terhadap usaha-usaha pihak berkuasa untuk meneruskan tanggungjawab menjalankan operasi mencari.
Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik. Ya Allah, sesungguhnya yang di langit dan di bumi ini milik Mu. Apa yang berlaku adalah ketentuan Mu. Kami mohon kasih sayang Mu ya Rabbi, berilah kekuatan dan ketabahan kepada semua ahli keluarga penumpang-penumpang MH370. Ya Allah ya Tuhanku, sekiranya mereka di udara, Kau turunkanlah mereka dan sekiranya mereka di laut Kau timbulkan mereka. Kami mohon pada Mu ya Allah, agar misi mencari dan menyelamat dipermudahkan, jangan disukarkan. Hanya pada Mu kami menyerah dan hanya kepada Mu kami mohon pertolongan. Amin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140310/re_03/Episod-Permatang-Pauh-Kajang-Permatang-Pauh#ixzz2vcSWoCrO © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment