Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 18 March 2014

PARLIMEN - Sindiket jual pasport tulen






KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Dalam Negeri mendedahkan kewujudan sindiket penjualan pasport tulen membabitkan negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua penumpang warga asing pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu juga menggunakan pasport yang dibekalkan oleh sindiket berkenaan.

"Siasatan mendapati dua pasport yang dimiliki warga Iran itu bukan palsu tetapi tulen. Dia (dua lelaki) masuk (ke Malaysia) menaiki kapal terbang Qatar Airways dari Phuket ke Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.

"(Kita percaya) di Phuket lah mereka membeli atau mendapatkan pasport tersebut," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu hilang sewaktu dalam penerbangan ke Beijing, China daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sehingga hari ini belum ditemukan.

Ahmad Zahid menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang bertanyakan mengenai kebanjiran pelajar asing dan pekerja asing tanpa izin termasuk kes dua lelaki Iran tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, maklumat itu adalah hasil siasatan dalaman awal yang dijalankan kementerian dan Jabatan Imigresen namun keseluruhan siasatan hanya didedahkan ketika sesi penggulungan yang dijadualkan awal bulan depan.

Beliau turut menegaskan, Jabatan Imigresen dan kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana sindiket kerana pihak berkuasa memandang serius isu membabitkan keselamatan negara.

Katanya, sebanyak 40.2 juta kes pasport hilang dilapor Interpol di seluruh dunia ketika ini dan Malaysia turut menerima tempias daripada perkembangan tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, beberapa pusat bahasa yang kononnya menawarkan kemudahan belajar Bahasa Inggeris telah ditutup kerana menyalah guna pas pelajar untuk bekerja.

"Siasatan rapi mendapati pelajar-pelajar mendapat pas pelajar namun akan diberikan kerja di tempat lain dan bukannya belajar," katanya.

Beliau menjelaskan, seramai 117,833 orang pemegang pas pelajar antarabangsa aktif sehingga 31 Disember lepas dan kemasukan mereka adalah berpandukan tawaran belajar dan juga kemampuan institusi pendidikan swasta untuk mengendalikan pelajar antarabangsa.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 5,217 kes tinggal lebih masa dan sebanyak 57 kes salah guna pas telah dikendalikan Jabatan Imigresen bagi tempoh 2010 hingga 2013.

Bagi tempoh yang sama, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 40 kes di bawah kategori jenayah kekerasan, 31 kes di bawah kategori jenayah harta benda, 505 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun 1952 dan 1,403 kes jenayah komersial.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140318/pa_01/Sindiket-jual-pasport-tulen#ixzz2wH0CKTH9  © Utusan Melayu (M) Bhd


 

No comments: