Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 13 March 2014

MH 370 - Kawasan operasi diperluas







HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersama Azharuddin Abdul Rahman (dua, kanan) dan Zulkifeli Mohd. Zin (dua, kiri) pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama, Sepang, semalam. Turut hadir Ahmad Jauhari Yahya (kanan) dan Rodzali Daud. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

SEPANG 12 Mac - Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima hari ini diperluaskan sehingga 27,000 batu nautika melibatkan perairan Laut China Selatan (14,440 batu nautika) dan Selat Melaka (12,425 batu nautika).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara keseluruhan untuk operasi hari ini sebanyak 42 kapal dan 39 pesawat telah digunakan untuk mengesan kedudukan pesawat MH370.

Beliau berkata, sebanyak 12 negara turut terbabit dalam operasi tersebut dan yang terbaharu melibatkan penyertaan India, Jepun dan Brunei.

"Operasi ini merupakan operasi yang melibatkan banyak negara dan kita amat berterima kasih dengan segala bantuan yang telah diberikan.

"Kita juga sedang bekerjasama dengan pakar-pakar termasuk daripada Boeing, pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS untuk turut serta menyiasat kejadian tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pusat media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefili Mohd. Zin; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Dalam perkembangan berkaitan Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata, beliau cukup bersimpati terhadap keluarga penumpang serta anak kapal yang sehingga kini nasib mereka masih belum diketahui.

"Saya memberi jaminan yang kerajaan tidak akan mengurangkan tempoh atau mengurangkan segala usaha dalam kita mencari pesawat yang hilang ini.

"Kita akan berusaha sedaya upaya dengan menggunakan segala aset dan keperluan yang ada sehingga pesawat ini ditemui," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan gerakan mencari dan menyelamat diperluaskan Sabtu lalu, pihaknya setakat ini masih belum menemui pesawat berkenaan termasuk di kawasan baru berdasarkan rekod radar tentera.

"Apabila kita dapati ada kemungkinan pesawat ini dikatakan telah melintasi Selat Melaka, pihak kerajaan terus menghantar kapal-kapal dan pesawat-pesawat untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat," katanya lagi.

Menjawab satu soalan berhubung penemuan mayat di Selat Melaka beliau berkata, perkara itu tidak benar.
Selain itu Hishammuddin turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes kehilangan pesawat MH370 daripada pengetahuan umum terutama ahli keluarga.

"Segala maklumat akan disalurkan kepada umum melalui media. Saya sendiri akan berada di sini dalam pukul 5 petang hingga 5.30 petang untuk menyalurkan maklumat terkini kes kehilangan pesawat MAS MH370," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140313/dn_04/Kawasan-operasi-diperluas#ixzz2voNqrclA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: