Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 6 March 2014

Mahkamah Persekutuan putuskan


Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my




Umat Islam berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penggunaan kalimah Allah di Putrajaya, semalam. - bernama

PUTRAJAYA 5 Mac - Persoalan sama ada majalah mingguan, The Herald berhak atau tidak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketetapan itu dibuat selepas permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah larangan Mahkamah Rayuan bertarikh 14 Oktober 2013 selesai didengar hari ini di hadapan panel khas seramai tujuh hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Enam lagi ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, keputusan menteri pada 7 Januari 2009 yang tidak membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu, bebas daripada sebarang unsur mala fide (niat jahat).

Menurut beliau, menteri berkenaan juga tidak tersalah arah ataupun bertindak secara salah ketika mengeluarkan perintah melarang gereja itu menggunakan kalimah tersebut.

Malahan beliau menegaskan, ketika mengeluarkan perintah larangan itu, Menteri Dalam Negeri telah mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Justeru itu, pihaknya menyatakan, tiada sebarang kecacatan dalam perintah tersebut kerana mematuhi segala peraturan tanpa sebarang unsur yang tidak rasional.

Sulaiman sehubungan itu memohon supaya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Pihak gereja memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 11 November tahun lalu dengan mengemukakan 26 persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Dalam permohonan itu pihak gereja menamakan Menteri Dalam Negeri, kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Kedah, Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) selaku responden pertama hingga kelapan.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan pihak kerajaan berhujah, dalam permohonan untuk mendapat kebenaran merayu, mahkamah akan mengkaji semula keputusan pihak berkuasa awam bahawa semakan kehakiman adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukannya terhadap keputusan itu sendiri.

Peguam Mubashir Mansor yang mewakili Majlis Agama Islam Johor, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan pula menarik perhatian mahkamah dengan mengatakan, isu yang menjadi persoalan bukannya mengenai pertembungan agama dan bukan juga isu Islam mencampuri urusan agama Kristian.

Sebaliknya menurut beliau, ia sebenarnya berhubung persoalan terjemahan dan salah terjemah kalimah Allah.

Pihak pemohon juga, kata beliau, mesti membuktikan perkara penting iaitu kalimah Allah berasal daripada perkataan Arab dan dalam terjemahan bahasa Melayu juga mengandungi kalimah Allah.

Sehubungan itu, katanya, pihak pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat pindaan ke atas perkataan tersebut.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Macma pula berkata, pemohon gagal membuktikan bagaimana perintah menteri yang berkenaan salah di sisi undang-undang.

"Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya membuang masa untuk menjawab semua persoalan ini," kata peguam tersebut.

Pihak gereja yang diwakili peguam Tan Sri Dr. Cyrus Dass dalam hujahnya menyifatkan, menteri berkenaan telah membuat kenyataan sewenang-wenangnya tanpa disokong dengan sebarang bukti.

Katanya, menteri gagal menunjukkan dan menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah Allah dalam The Herald versi bahasa Melayu mampu mengancam keselamatan negara dan boleh menyebabkan kekeliruan agama.

Hak golongan minoriti menurut Dass, telah terjejas disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan itu kerana hak tersebut bukan diatur oleh kuasa eksekutif sebaliknya ditentukan oleh mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140306/ma_01/Mahkamah-Persekutuan-putuskan#ixzz2v8zoVbjF  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: