Oleh Ku Seman Ku Hussain
kusemankh@gmail.com
DENGAN nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, lembaran terbuka ini kami anggota sidang editorial Mingguan Malaysia dedikasikan kepada semua keluarga dan sanak saudara penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang awal pagi Sabtu, 8 Mac lalu.
Kami percaya dalam situasi tertekan, panik dan gundah yang maha dahsyat ini, tiada yang lebih berharga daripada hubungan rasa dengan orang lain. Andai kata lembaran terbuka ini boleh dianggap sebagai sumbangan, inilah sumbangan rasa dan cakna kami kepada saudara-saudara yang sedang diuji.
Saudara-saudara yang kami hormati, sudah sembilan hari negara kita berduka atas tragedi tidak diduga. Tiada siapa menjangka, pesawat yang berlepas dalam kabut malam menuju Beijing, China hilang tanpa tanda. Garis masa berlalu dalam catatan yang menuntut jawapan. Tetapi jawapan itu masih tersimpul sekalipun usaha manusia sudah sampai ke penghujungnya. Betapa kerdilnya manusia berbanding Pencipta.
Sembilan hari juga langit rasa kita mendung dan suram, berbahagi duka dengan saudara-saudara yang kehilangan orang tersayang; suami, isteri, ibu, anak dan bapa. Kami faham, berat mata kami memandang, berat lagi hati dan perasaan saudara-saudara yang mendepani hakikat ini menanggungnya. Pelbagai rasa yang berkecamuk menambah beban jiwa yang menunggu suatu berita yang belum pasti.
Apa yang kami mahu katakan, saudara-saudara tidak keseorangan meredah kedukaan ini. Seluruh pelosok negara malah dunia merasakan degup duka yang sama; kehilangan, kerinduan, di samping memangku harapan daripada sabar dan takwa yang panjang. Kami faham, apalah sangat dengan catatan di lembaran ini sedangkan kami tidak berada di tempat saudara.
Tetapi percayalah, tragedi ini banyak mengajar kita, kami dan juga saudara-saudara tentang kehebatan sains ciptaan manusia dan kuasa Tuhan yang menentukan nasib semua makhluk ciptaan-Nya. Kehebatan manusia ada sempadannya, keagungan Tuhan di luar lingkaran kuasa fikir kita.
Saudara-saudara, secara munasabahnya pesawat yang membawa bersama-sama hati dan jiwa saudara sudah lama ditemui. Malah secara munasabah juga pesawat itu tidak boleh hilang begitu sahaja kerana dikawal hukum sains ciptaan manusia yang paling moden dalam kelasnya. Tetapi seperti yang kami nyatakan tadi, kehebatan manusia ibarat setitis air di lautan dibandingkan dengan kekuasaan Tuhan.
Sehingga kini teknologi mencari dan menyelamat termoden dari 13 negara telah digunakan, pakar-pakar dalam teknikal dan hukum dalam penerbangan juga tertumpu untuk memberikan khidmat menyuraikan kekusutan.
Pihak berkuasa, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Penerbangan Malaysia (MAS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai lagi bergabung untuk mencari kunci misteri yang menggegarkan dunia ini.
Usaha dan iltizam mereka sangat luar biasa, bukan lagi kerana upah, gaji atau imbuhan tetapi kerana tanggungjawab kemanusiaan yang tidak ada batas sempadan.
Setelah seminggu usaha mencari yang digerakkan secara berterusan, siang dan malam, ditambah dengan peralatan yang pada teorinya mampu melaksanakan tugas mencabar ini, tetapi orang yang saudara tunggu tidak juga ditemui. Malah tanda dan isyarat untuk dijadikan jejak juga semacam terpadam.
Pasukan mencari dan menyelamat, dari dalam dan luar negara telah melakukan yang terbaik pada tanda aras kemampuan mereka. Teknologi tercanggih juga diuji untuk menangani tragedi yang sangat misteri ini. Tetapi hasilnya agak menghampakan. Harapan saudara, harapan warga seluruh dunia belum terzahir untuk dikhabarkan berita yang pasti, sekalipun mungkin yang tersayang tiada lagi di depan mata.
Siapa yang tidak pilu dan hiba anak yang dilepaskan di pangkalan baru sebentar tadi dikejutkan dengan berita di luar jangka. Isteri mana yang mampu menahan air mata apabila suami yang dilepaskan pergi demi tugas, dibekal dengan juadah enak sebagai tanda mata masih kabur nasibnya.
Tetapi saudara-saudara, orang yang arif agama selalu berkata, Tuhan tidak akan memberikan ujian yang melampaui batas kekuatan manusia, dan ketika Dia mahu ujian getir itu berlaku, saat itu pulalah Dia telah memberikan jalan keluar dari setiap kedukaan yang ada. Kami yakin jalan keluar itu ada cuma tertangguh untuk kita sebagai umat membaca isyarat-Nya.
Maka kami percaya saudara-saudara adalah insan yang cukup tabah menempuh ujian yang sangat getir ini. Saudara-saudara dipilih kerana Tuhan percaya saudara memiliki kekuatan yang luar biasa mendepaninya.
Tentu sahaja kami tidak sekuat dan setabah saudara seandai diuji setragis ini. Itulah kelebihan saudara-saudara, tidak patah kata mempersoalkan takdir yang tidak pernah tersilap dalam aturannya.
Daripada tragedi yang menimpa keluarga saudara-saudara, insan kembali kepada Tuhan dan memohon pertolongan-Nya. Masjid, surau, dewan dan kamar basah dengan doa daripada sembahyang hajat. Mereka memohon dipermudahkan segala usaha murni menyuraikan bencana ini. Saudara-saudara, itulah kelebihan kita yang punya Dia, dalam suka mahupun duka.
Saudara-saudara, anggaplah ini masa untuk saudara, masa kami dan yang lain belum tiba lagi untuk diuji seberat ini.
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengalungkan rasa bangga kepada teraju DCA, Azharuddin Abdul Rahman, teraju MAS, Ahmad Jauhari Yahya, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein dan lain-lain lagi di atas usaha yang sangat luar biasa. Tuan-tuan semua telah membuktikan kesungguhan dan keikhlasan daripada air muka yang tanpa lelah dan putus asa. Semoga Tuhan membalasnya di atas keikhlasan yang tuan-tuan lakukan.
Kami percaya sekiranya tuan-tuan rapuh secara mental dan fizikal mendepani tragedi sehebat ini, kesannya sangat buruk kepada keluarga yang menanti dan memujuk hati dengan harapan.
Datuk Azaharuddin, Datuk Ahmad Jauhari, serta Datuk Seri Hishamuddin, tuan-tuan semua telah melaksanakan tanggungjawab melampaui sempadannya.
Terima kasih. Doa kami tidak kering untuk semua.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140316/re_02/Daripada-Mingguan-Malaysia-buat-keluarga-penumpang-MH370#ixzz2wBrfyjX5 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment