Baharom Mahusin
baharom@gmail.com
RASANYA tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada peristiwa besar berlaku yang menyebabkan media antarabangsa membuat laporan tanpa henti dan bertubi-tubi sebagaimana yang mereka hidangkan dalam kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lepas.
Pada hari Jumaat lalu, tiga agensi berita antarabangsa iaitu Reuters, Agence France Presse (AFP) dan Associated Press (AP) melaporkan lebih 70 item berita berkaitan Malaysia dan MH370 yang dikemaskinikan dari masa ke masa.
Stesen televisyen, akhbar, majalah dan portal berita dari seluruh dunia memberi fokus kepada kehilangan MH370, daripada pakar-pakar penerbangan di Amerika Syarikat, China, India, Australia hinggalah kepada begitu ramai orang biasa di negara-negara di benua Eropah dan Asia.
Berbilion manusia di seluruh dunia sedang menunggu berita apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat MH370 laluan Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China menerusi akhbar, stesen televisyen, portal berita Internet, Facebook dan Twitter. Hashtag #MH370 dalam Twitter menjadi antara trending paling popular sejak seminggu lalu.
Pada tahun 2012, terjadi dua nahas pesawat iaitu nahas Dana Air di Lagos, Nigeria yang mengorbankan 150 orang dan juga kejadian pesawat Bhoja Airlines terhempas di Islamabad, Pakistan yang melibatkan kematian 127 orang.
Bagaimanapun, minat orang ramai di seluruh dunia terhadap kedua-dua nahas pesawat itu tidak seperti keghairahan mereka untuk mengetahui punca kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal termasuk 153 orang rakyat China.
Oleh kerana kejadian kehilangan pesawat MH370 itu tidak dapat diterangkan secara logik dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab, ia menimbulkan misteri besar kerana situasi seumpama itu tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia.
Mustahil sebuah kapal terbang yang begitu besar boleh dimatikan sistem komunikasinya begitu sahaja dan ia terbang tanpa dapat dikesan radar. Selepas lapan hari berlalu, nasib 239 orang yang berada dalam pesawat itu masih tidak diketahui.
Tanpa mendapat jawapan kepada segala persoalan, khususnya yang berkait dengan motif dan juga bagaimana transponder pesawat yang begitu canggih boleh dimatikan dan ia kemudian dipercayai dilencongkan beribu-ribu kilometer ke barat Semenanjung Malaysia berdasarkan data yang dihantar oleh enjin pesawat itu kepada satelit yang sebaliknya tetap gagal mengesan lokasi MH370, dunia pasti berada dalam suatu keadaan krisis.
Boeing, syarikat ikon Amerika Syarikat, yang mempunyai perolehan tahunan AS$86 bilion (RM283 bilion) pada 2013 mempunyai alasan bisnes untuk mengetahui bagaimana pesawat itu boleh hilang tanpa dikesan.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan mana-mana kerajaan di dunia, termasuk China dan Malaysia, perlu tahu apa yang terjadi kepada kapal terbang itu. Ada isu keselamatan serius yang wajib ditangani oleh masyarakat antarabangsa.
Dunia sebelum ini menyaksikan bagaimana saintis memasang peranti GPS pada penyu dan jerung serta dapat mengesan pergerakan hidupan laut itu di serata dunia. Begitu juga dengan sistem telekomunikasi telefon pintar yang boleh diakses di seluruh dunia.
Bagaimanapun, dalam kes MH370, kita sekarang berhadapan dengan satu situasi di luar jangka, iaitu pihak berkuasa antarabangsa (dengan teknologi dan sokongan Amerika Syarikat, China, India dan Australia) tidak dapat mengesan lokasi pesawat Boeing 777-200 milik MAS yang begitu canggih dan besar.
Jika ia terhempas di lautan, di mana tempat dan sisa-sisa pesawatnya?
Kalau ia dirampas, bagaimanakah pihak yang merampasnya boleh menerbangkan pesawat itu pada paras 36,000 kaki dengan cara yang begitu licik? Apakah pengetahuan teknologi mereka? Adakah mereka yang terlibat itu lanun atau konspirasi anak kapal?
Dalam tempoh lapan hari lepas, kita membaca dan mendengar sendiri pelbagai teori dan persoalan yang dikemukakan berhubung kehilangan pesawat MH370: Masalah mekanikal, berkecai dibom pada paras 36,000 kaki, kesilapan pemanduan juruterbang, keraguan terhadap karakter juruterbang, pesawat dirampas oleh kumpulan tertentu dan disembunyikan di lokasi rahsia, konspirasi antarabangsa, disedut lubang hitam dan super air pocket, tanda kemurkaan Tuhan serta pelbagai lagi hujah dan alasan.
Sehingga malam tadi, teori-teori itu terus diperdebatkan menerusi gosip-gosip Internet, yang diburukkan lagi dengan penglibatan bomoh, ahli pukau dan pakar silap mata.
Bomoh di Malaysia dilabelkan mengamalkan syirik dan khurafat ketika pada masa yang sama ada bomoh di stesen televisyen di India memukau dua penonton yang mengilustrasikan semula "apa yang berlaku di atas pesawat MH370". Antaranya, wanita India yang dipukau itu berkata dia mendengar seseorang menyebut kata-kata "terima kasih" di atas pesawat MH370.
Pakar silap mata British-Israel, Uri Geller pula yang mempunyai kemampuan untuk membengkokkan sudu besi melalui kuasa mindanya turut mahu membantu mencari pesawat itu.
Cerita pelik
Media, dalam kerancakan mencari kisah sebenar di sebalik misteri MH370, pun terlanjur melaporkan cerita-cerita pelik itu, yang menimbulkan keragaman antara tahyul dan fakta sains.
Tugas asas media adalah untuk mencari kebenaran atas apa yang berlaku kepada pesawat MH370 dan melaporkannya untuk kepentingan orang ramai, tetapi organisasi media dari pelbagai negara melihat fakta, komen dan pendedahan tersebut berdasarkan kepentingan nasional masing-masing.
Sebagai contoh, apabila stesen televisyen Australia mendedahkan foto-foto pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bergambar dengan dua gadis dari Afrika Selatan dalam kokpit sebuah pesawat MAS yang terbang dari Thailand ke Kuala Lumpur, ada pihak kurang senang dengan laporan yang tidak sensitif itu.
Terdapat pihak di Malaysia mengkritik etika media Australia, dan berlaku perang media mengenai kesesuaian menyiarkan gambar-gambar seumpama itu pada saat-saat kesedihan keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370.
Di Malaysia juga, ketika media Amerika dan British mempersoalkan hobi juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mempunyai simulator Boeing 777 di rumahnya, media dan polis Malaysia memilih untuk menjaga ketertiban. Polis hanya memeriksa rumah Kapten Zaharie di Shah Alam selama dua jam petang semalam ketika siasatan polis memasuki fasa penyiasatan jenayah.
Akhbar-akhbar Barat secara bebas membuat spekulasi mengenai kononnya pesawat MH370 dirampas, berlaku sesuatu kepada perlakuan juruterbang dan sebagainya, tetapi media di Malaysia memilih untuk bersikap konservatif dengan menunggu pasukan penyiasat mengumumkan sendiri penemuan-penemuan mereka.
Perbezaan mentaliti dan pendekatan media tergambar daripada liputan kehilangan MH370.
Namun, apa yang jelas daripada kehilangan pesawat MH370 ialah kita tidak boleh lagi memandang mudah isu-isu keselamatan di lapangan terbang dan dalam industri penerbangan yang kini wajib dipertingkatkan.
Pihak berkuasa Malaysia juga perlu menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk mendapatkan aset dan teknologi pasukan mencari dan menyelamat serta mempertingkatkan keselamatan ruang udara negara.
Pergantungan kepada negara-negara sahabat dalam operasi mencari MH370 yang ditunjukkan sejak 8 Mac lalu memang bagus untuk kerjasama bilateral dan serantau tetapi ada risiko tertentu kepada keselamatan Malaysia yang diakui sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Terdapat 14 buah negara terlibat dalam gerakan mencari membabitkan 57 kapal laut dan 58 pesawat. Ini belum lagi termasuk penggunaan satelit China, India dan Amerika Syarikat. Kos mencari MH370 amat tinggi.
Kehilangan MH370 turut membuka peluang kepada banyak pihak di Malaysia untuk menilai semula strategi nasional dalam pengendalian krisis serta bagaimana kerjasama di peringkat antarabangsa dapat dimanfaatkan. Ada kritikan dibuat ekoran kontradiksi fakta pada hari-hari pertama kehilangan pesawat selain kecelaruan dalam gambar dua lelaki Iran yang naik pesawat menggunakan pasport curi dan penjelasan separuh masak sesetengah pegawai semasa sidang akhbar.
Sungguhpun begitu, jika diletakkan dalam konteks yang lebih luas dan untuk berlaku adil, kehilangan pesawat MH370 bukan isu Malaysia semata-mata dan ia tidak menggambarkan kelemahan, sebaliknya membuktikan tiada sesuatu yang dapat dipanggil sempurna semasa pengendalian krisis kerana pengerahan aset dan teknologi paling canggih oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China pun belum membuahkan apa-apa hasil.
Dinamik dalam pencarian dan penyiasatan kehilangan MH370 ini mungkin membuatkannya terpahat sebagai salah satu misteri besar dunia, bukan setakat kepada Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140316/re_03/Pengajaran-daripada-kehilangan-MH370#ixzz2wBtIXqap © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment