WASHINGTON 13 Mac - Selepas enam hari operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijalankan, penyiasat Amerika Syarikat (AS) mendedahkan satu andaian baharu, tentang kemungkinan pesawat itu dirampas untuk tujuan sabotaj.
Wall Street Journal (WSJ) memetik dua sumber keselamatan dan penerbangan negara ini melaporkan pesawat itu masih berada di udara selama empat jam dari lokasi terakhir ia dilaporkan hilang di Laut China Selatan pada Sabtu lalu.
Laporan itu mengandaikan seseorang telah bertindak mematikan sistem transponder pesawat tersebut yang berfungsi sebagai radar dan 'mengarahkan' pesawat tersebut ke tempat lain.
Pendedahan terbaharu itu menimbulkan kebarangkalian pesawat itu terbang ke kawasan lain pada jarak tambahan 3,500 kilometer (km), yang memungkinkan ia sampai ke sempadan Pakistan atau destinasi sejauh Lautan Hindi atau Laut Arab.
Kali terakhir pesawat itu dikesan pada radar ialah pada pukul 1.30 pagi, kurang sejam selepas ia berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.
Menurut sumber itu, mereka percaya pesawat itu telah terbang selama lima jam termasuk kira-kira sejam bermula dari ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan hilang dikesan radar berdasarkan data automatik yang dimuatnaik dan dihantar ke bumi daripada enjin pesawat Boeing Co 777 sebagai sebahagian daripada standard program pemantauan pesawat tersebut.
Seorang sumber berkata, sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraan, pesawat MAS mampu untuk menghantar data enjin pesawat secara langsung ke pembuat enjin kapal terbang, Rolls-Royce untuk dianalisis.
Sistem itu menghantar data daripada dua enjin Trent 800 Boeing 777 dengan memberi butiran seperti kedudukan altitude dan kelajuan pesawat.
Sementara itu, dalam satu taklimat, pegawai-pegawai AS memberitahu penyiasat secara aktif mengandaikan bahawa destinasi pesawat itu telah diubah 'dengan niat untuk menggunakannya bagi tujuan lain pada masa depan', lapor WSJ.
Antara kes pesawat yang pernah disabotaj adalah membabitkan pesawat syarikat penerbangan China Northern Airlines yang terhempas pada 7 Mei 2002 mengakibatkan 103 penumpang dan sembilan anak kapal terkorban.
Kejadian itu berlaku di perairan berhampiran Dalian sejurus juruterbang menerima laporan kebakaran di dalam pesawat terbabit berpunca daripada seorang penumpang yang membakar pesawat dengan petrol selepas dia dilaporkan membeli insurans nyawa dipercayai bagi membayar hutangnya yang banyak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140314/dn_05/AS-dakwa-MH370-mungkin-dirampas#ixzz2vtgzBGtJ © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment