Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 11 March 2014

Anwar dihukum penjara 5 tahun


Oleh AMIRUDDIN HARUN, SUWARNI MOKHTAR, RODELIO JUNJUN TAUCAN, ILLAH HAFIZ AZIZ dan HUSSAINI AMRAN




PUTRAJAYA 7 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah pada pukul 6.15 petang ini setelah mendengar hujah kedua-dua pihak sejak pukul 9.15 pagi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan syarat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu membayar jaminan sebanyak RM10,000 sebelum atau pada pukul 11 pagi, Isnin ini.

Panel tersebut memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketua Pembangkang itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan tersebut didengar selama dua hari sejak semalam setelah tertangguh semenjak Julai tahun lalu.
Wajah Anwar dilihat muram sepanjang prosiding berjalan meskipun kerap dilihat cuba bergelak ketawa ketika menemui pihak media, barisan peguam atau para penyokongnya serta pemerhati asing yang memenuhi galeri awam semasa mahkamah berhenti rehat seketika.

Ini sabitan kedua terhadap Anwar selepas dia penah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2000 setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Walau bagaimanapun, empat tahun kemudian, hukuman dan sabitan tersebut berjaya diketepikan oleh beliau di Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2004 dengan keputusan majoriti 2-1.

Pada prosiding hari ini, ketika membaca penghakiman ringkas, Hakim Balia menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tersalah tafsir bahawa integriti bahan bukti yang diletakkan di dalam 11 botol sampel berlainan telah tercemar.

Bahan bukti itu sebelum ini didakwa tercemar apabila beg plastik yang digunakan untuk menempatkan kesemua sampel itu digunting di bahagian bawahnya oleh bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

"Kami berpuas hati bahawa apa yang dilakukan oleh PW25 (Judy) hanyalah menggunting bahagian bawah plastik berkenaan, membungkus semula setiap botol sampel secara berasingan sebelum membuat penandaan bagi mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO).

"Adalah tidak disangkal bahawa hanya P27 (beg plastik) yang telah diusik dan bukannya botol-botol sampel.

"Ia turut disokong oleh keterangan saksi pendakwaan kelima, ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Seah Lay Hong bahawa kesemua meterai (seal) botol-botol sampel itu masih berkeadaan baik sewaktu menerimanya," kata hakim tersebut.

Menurut Hakim Balia, sekiranya hakim bicara telah meneliti keterangan ini dengan teratur, beliau tidak akan membuat kesimpulan bahawa bahan bukti terbabit telah tercemar sebelum diserahkan kepada ahli kimia.

Panel tersebut turut menyatakan hakim terdahulu juga terkhilaf apabila menerima keterangan saksi pakar dari Australia, Profesor Madya Dr. David Lawrence Noel Wells dan perunding Sistem Genetik Molekular, Dr. Brian McDonald; yang disifatkan hanyalah ‘armchair expert’ (pakar yang hanya pandai berteori).

"Kami mendapati tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan.

"Lay Hong dan Nor Aidora Saedon (ahli kimia) merupakan saksi yang mempunyai pengalaman yang luas dan kelayakan akademik sebagai saintis forensik.

"Hakim terdahulu telah tersalah arah dalam keputusannya sehingga memutuskan untuk membebaskan responden (Anwar). Bagaimanapun, atas alasan yang dikemukakan, kami membenarkan rayuan ini dan responden disabitkan dengan kesalahan," kata beliau.

Sejurus selepas keputusan itu dibuat, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk di galeri awam dilihat meluru ke arah Anwar untuk menenangkan suaminya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140308/ma_01/Anwar-dihukum-penjara-5-tahun#ixzz2vcXht3ZA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: