KUALA LUMPUR 16 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengajak semua rakyat negara ini mengemukakan sebarang cadangan serta
idea yang bernas bagi Bajet 2013.
Beliau berkata, sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab
membentangkan Bajet 2013, adalah amat penting rakyat diberi peluang
untuk turut sama berkongsi pandangan terutama cara terbaik meletakkan
negara di hadapan sama ada dalam bidang sosial mahu pun ekonomi.
Beliau berkata, antara topik tumpuan yang boleh dibincangkan adalah
kos sara hidup, keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam
kreativiti dan juga isu-isu yang mempengaruhi kehidupan rakyat seharian.
“Tahun ini kita akan menyediakan sebuah platform untuk memberi ruang
dan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi cadangan dan pendapat
mereka mengenai Bajet 2013. Perbincangan ini akan berlangsung secara
dalam talian (blog 1Malaysia) bermula hari ini hingga 29 Julai.
“Platform ini juga merupakan peluang bagi semua rakyat Malaysia untuk
mengemukakan idea dan input mereka bagi pertimbangan Kementerian
Kewangan," katanya menerusi blog 1Malaysia di http://1malaysia.com.my,
hari ini.
Najib berkata, pembentangan Bajet 2013 dijadualkan pada 28 September nanti.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, pada masa ini
kurang daripada 10 peratus daripada rakyat Malaysia yang membayar cukai.
Oleh itu katanya, cabaran utama bagi kerajaan adalah untuk memperluas
dan mengubah sumber pendapatan negara bagi memastikan defisit bajet
dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan tidak melebihi
kemampuan.
“Untuk mencapai matlamat ini, kita juga perlu memberi tumpuan
terhadap rangsangan pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing
melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Kita sudah membuat permulaan yang kukuh di mana Lembaga Hasil Dalam
Negeri (LHDN) pada tahun lalu telah mengumpul sebanyak RM110 bilion
hasil dan ini membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama
bagi kebajikan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
baucar buku," katanya.
Justeru, beliau berkata, bagi mengekalkan momentum tersebut, kerajaan memerlukan sumbangan idea daripada semua rakyat Malaysia.
“Saya ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam perbincangan
Bajet 2013 ini. Anda boleh mulakan dengan klik di sini (melayari blog
1Malaysia).
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya amat berharap dapat menerima
idea-idea baru yang bernas serta penyelesaian yang berpotensi daripada
rakyat Malaysia," katanya.
KOMEN : BAJET UNTUK RAKYAT BOLEHLAH BERKONGSI IDEA DENGAN PM, BAJET PAKATAN RAKYAT HARAM SATU HARAM PUN AKU TAK FAHAM... SEMOGA BAJET 2013 LEBIH MENYELURUH DAN SEMUA PERINGKAT RAKYAT MENDAPAT MAFAATNYA...
1 comment:
bajet membebankan rakyat dgn pelbagai kenaikan kos brg2 keperluan...p la mabukkk...semuanya hampehhhhh
Post a Comment