KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak remaja negara
memilih jalan sukar untuk layak secara automatik dan mungkin tidak dapat
beraksi pada Piala Asia Bawah 22 tahun apabila tewas 1-2 dalam
perlawanan terakhir peringkat kelayakan kepada Myanmar, semalam.
Harapan untuk melihat skuad bimbingan Ong Kim Swee mara secara
automatik bersama Korea Selatan disekat oleh Myanmar yang ternyata
beraksi lebih baik di hadapan kira-kira 23,000 penonton sendiri di
Stadium Pusat Latihan Remaja, Yangon.
Ini bermakna skuad Harimau Muda mempunyai tiga peluang yang amat
tipis untuk turut mengiringi Korea Selatan dan Myanmar ke Piala Asia
Bawah 22 tahun, pertama perlu menunggu perlawanan di antara Oman dan
India dalam aksi terakhir Kumpulan A awal pagi ini.
Sekiranya kedua-dua pasukan, yang sekarang ini mengumpul tujuh mata
mencatat keputusan seri, Malaysia sudah sebelah kaki menjadi pasukan
ketiga terbaik untuk mengiringi juara dan naib juara ketujuh-tujuh
kumpulan ke saingan akhir Piala Asia Bawah 22 tahun pada 2013.
Selepas melepasi peluang pertama ada satu lagi peluang perlu ditunggu
iaitu aksi Kumpulan E melibatkan Australia, Jepun, Indonesia,
Singapura, Macau dan Timor Leste. Jika pasukan tempat ketiga kumpulan
ini gagal memungut mata mahupun jaringan melebihi daripada Malaysia,
maka anak buah Kim Swee masih mampu ke temasya yang kali pertama
diadakan itu.
Akhir sekali adalah menunggu sama ada Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) akan mengambil tindakan ke atas tuan rumah yang dikatakan
membariskan pemain melebihi had umur. Namun setakat ini belum ada
kenyataan rasmi mahupun bantahan telah dibuat.
Berbalik kepada aksi malam tadi, Myanmar yang dibimbing jurulatih
dari Korea Selatan, Park Seong Hwa di depan pada minit ke-33 selepas Kyi
Lin melakukan hantaran pendek di hadapan pintu gol Malaysia dan mudah
disudahkan Kaung Shi Tu menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.
Ketinggalan 0-1 menyaksikan pasukan kebangsaan cuba untuk bangkit
pada separuh masa kedua, namun keghairahan menyerang mengundang padah
apabila Myanmar berjaya menambah gol kedua sekali lagi melalui Shi Tu
pada minit ke-52.
Malaysia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-64 melalui pemain
gantian Ahmad Hazwan Bakri bagaimanapun percubaan pertamanya berjaya
ditepis penjaga gol, Kyaw Zin Pyho sebelum rembatan susulan pula
tersasar keluar.
Selepas melakukan asakan bertubi-tubi dan gagal menemui sasaran
Malaysia berjaya memperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan dan ia
berjaya disempurnakan oleh Rozaimi Abd. Rahman sebelum perlawanan tamat
dengan keputusan Myanmar menang 2-1.
Keputusan lain menyaksikan Korea Selatan mengalahkan Vietnam 2-0,
manakala Taiwan menang tipis ke atas Filipina 2-1. Korea Selatan muncul
juara kumpulan dengan memungut 13 mata dan mengekalkan rekod bersih
tidak pernah tewas dan seri sekali.
Begitu juga dengan Myanmar yang belum tewas kecuali seri sekali 0-0
ketika bertemu Korea Selatan Khamis lalu. Myanmar muncul pasukan kedua
terbaik berkongsi mata dengan Korea Selatan namun dipisahkan dengan
perbezaan jaringan.
Malaysia pula muncul pasukan ketiga terbaik dengan mengumpul sembilan
mata hasil tiga kemenangan dan dua kali tewas. Sebelum ini pada aksi
pembukaan 23 Jun lalu Malaysia tewas tipis 3-2 ketika bertemu Korea
Selatan.
No comments:
Post a Comment